Wednesday, September 3, 2014

Nasihat Buat Penuntut Ilmu Melayu

Ulama Islam dalam tradisi yang sejak lama telah mengarang banyak kitab tentang tatacara atau adab menuntut ilmu. Ini adalah penting, agar ilmu yang kita hasilkan adalah ilmu yang penuh berkah, manfaat di dunia dan akhirat. Sebut saja kitab Ta'lim al-Muta'allim oleh Zarnuji, kitab Adab Ta'lim wa al-Muta'allim oleh KH Hasyim Asy'ari, kitabTanbih al-Muta'allim oleh KH Maisur Sindi, dan seperti kitab Hilyatu Thalibi al-Ilmi oleh Ulama Salafi Bakr Abu Zayd.

Tentunya kitab-kitab tersebut dikarang oleh ulama tersebut pada zaman mereka, maka konteks adab dan tatacara menuntut ilmu juga sesuai dengan konteks zaman tersebut. Walaupun ia mungkin tidak banyak berubah dengan zaman sekarang, tapi penulis ingin sedikit menyebutkan beberapa isu yang menjadi halangan hasilnya ilmu yang manfaat dan barakah bagi khusus pelajar-pelajar Melayu yang penulis temui selama ini. Berikut adalah perinciannya:

1- Niat Menuntut Ilmu:

Kesalahan besar yang dilakukan oleh penuntut ilmu Melayu adalah menuntut ilmu untuk sekeping sijil dan kerana mencari profesi atau kerja. Seperti yang diajarkan Imam Zarnuji, seorang pencari ilmu tidak sepatutnya memasang niat menuntut ilmu untuk rezeki dan mencari jabatan atau gelar. Tujuan utama menuntut ilmu adalah kerana Allah Ta'ala dan kerana menghilangkan kebodohan. Seharusnya orang Menuntut ilmu kerana ia passionate dengan apa yang ia pelajari. Dengan ini, ilmu yang dihasilkan bukan sebatas lulus atau hanya kerana hendak berkerja dengan profesi tersebut.

2- Berbangga dengan Negara Tempat Belajar

Salah satu penyakit paling besar dilanda pelajar-pelajar Melayu, adalah ingin belajar di negara-negara Arab, hanya kerana nama negara atau istilah "belajar oversea". Bagi mereka "Enta belajar Maghribi", "Enta thalib Mesir", "Enta mahasiswa Madina" adalah perkara penting dan yang paling menyedihkan, ada di kalangan orang tua yang bukan mementingkan illmu, akan tetapi hanya kerana tempat belajar anaknya. Misalannya, ada mahasiswa yang sebenarnya ilmunya masih kurang, lulus dengan nilai yang rendah ketika menjalani pelajaran di sekolah menegah atau tsanwiyyah, akan tetapi demi pride dan bangga-bangga; memaksa diri atau anaknya untuk menuntut di negara Arab seperti menghantarnya ke Mesir, atau Yaman. Padahal asas anak tersebut masih zero not to hero. Penulis sendiri banyak kali bertemu dengan mahasiswa di berbagai negara Arab yang sememangnya masih tidak layak untuk menuntut ilmu di negara-negara Arab kerana bahasa Arab yang masih zero. Belum lagi ilmu asas dan alat pengajian Islam masih zero atau minimal. Bayangkan ada mahasiswa belajar di peringkat ijazah, masih tidak dapat membezakan antara isim ghoiru munsharif dan tidak, lalu ingin belajar di negara Morocco misalnya, ketika bahan-bahan pelajaran sudah setinggi masalik al-illat dan maqashid atau Alfiyyah Ibn Malik dalam Nahwu Sorof.

Apakah tidak ada lagi pondok atau madrasah di Malaysia sehinggakan perlu menghantar anak ke negara Arab? Apakah tidak ada lagi pondok-pondok yang berkualiti di negara jiran seperti Selatan Thailand dan Indonesia? Yang lebih sedih, berapa pelajar Malaysia yang dapat masuk ke Darul Musthofa Hadramaut Yaman, kerana tidak cukup syarat. Akan tetapi orang tua mereka masih berusaha menghantar anak-anaknya ke Yaman seperti Sana'a, Hudaidah dan lain-lain hanya kerana masih memimpikan anaknya dapat belajar dengan syaikh Arab. Ketahuilah bahawa sesungguhnya anak tersebut tidak akan mampu menyerap ilmu yang diperlukan kerana masih sangat kurang pengalaman ilmunya.

Penulis sangat sedih melihat ketika orang tua sudah tidak lagi percaya dengan pondok-pondok traditional Melayu atau Jawa di rantau Asia untuk mendidik anak-anak mereka. Atau kadang-kadang merasa terlalu pride untuk meletakkan anak di pondok-pondok Nusantara.

3- Menuntut Bahasa Arab di Tanah Arab

Kesalahan besar yang dilakukan penuntut Melayu adalah memilih tanah Arab sebagai pusat untuk belajar Bahasa Arab, ketika asas bahasa Arab mereka masih zero. Ini adalah kesalahan besar, kerana seseorang itu akan merasakan kesusahan memahami kaedah-kaedah nahwu dan sorof ketika yang menerangkannya adalah orang Arab yang menggunakan bahasa alien penunut tersebut. 

Perkara ini telah penulis buktikan ketika berada di Jawa sendiri. Bagaimana mungkin seseorang santri belajar istilah-istilah nahwu dan sorof dan meresapi dan menjiwai dalam dirinya ketika dia tidak faham apa yang asatizahnya jelaskan. Paling-paling mereka bergiat menghafal matbu' atau kurikulum sekolah atau pondok modern tersebut untuk lulus dan mendapatkan sijil lalu berangkat ke negara Arab.

Berbeza dengan santri-santri yang belajar nahwu dan sorof di sekolah Ma'ahad mereka dengan tekun, atau di pondok-pondok traditional seperti di Jawa, Selatan Thailand, atau Kelantan dan Kedah; kerana di situ, mereka akan mempelajari kaedah-kaedah nahwu sorof dengan bahasa mereka sendiri, sehinggakan dapat memahami mubtada' dan khabar atau fi'il dan fa'il dengan bahasa sendiri lalu dijiwai dalam jiwa mereka.

Penulis juga sudah menyaksikan sendiri kirisis ini pada banyak mahasiswa yang datang ke Mesir dan Morocco. Mereka tidak mampu membaca kitab walau sudah tahun akhir. Yang lebih menyedihkan, ada mahasiswa terjun bebas untuk datang ke Morocco semata-mata untuk belajar bahasa Arab dengan menggunakan biaya yang banyak, ketika keluarganya masih sangat tidak mampu, selain umur yang sudah berangka besar. Padahal ketika dia masuk di Institusi di Morocco pun, beliau tidak berhasil mendapatkan apa yang diharapkan. Apakah ini tidak membazir? mungkin dengan RM5000 yang dihabiskan pada perjalanan pertama ke Morocco sebenarnya cukup untuk membiayai anak di pondok traditional di jawa untuk jangka masa 1 tahun bahkan lebih. Janganlah hanya kerana nama Morocco atau Mesir, kita menyusahkan diri kita untuk mencari wang sana-sini, ketika ilmu itu tidak didapatkan sesuai yang diharapkan.

4- Mementingkan Perkara Selain Tujuan Hasilnya Ilmu

Penulis sangat kecewa kalau ada mahasiswa yang mengutamakan perkara lain selain untuk mendapatkan ilmu. Misalnya ketika cuti pergi ke Eropah untuk tujuan jalan-jalan atau bekerja dengan waktu yang sangat lama seperti 1 bulan atau 3 bulan, ketika waktu itu boleh digunakan untuk mengikuti dawrah di Madrasah-Madrasah Traditional atau dengan ustaz-ustaz yang berkelayakan. Ini adalah menyia-nyiakan peluang mereka.

Perkara yang sedih lagi, ketika hari-hari aktif belajar, mahasiswa menghabiskan waktunya dengan ber-online, atau ber-FB dan lain-lain. Sungguh penulis kecewa melihat musibah ini. Seharusnya perkara-perkara ini hanya untuk berhibur ketika jenuh seketika, atau menjadi medium komunikasi, bukan medium menuntut ilmu, kerana ilmu tidak mungkin didapatkan pada tempat yang penuh fitnah seperti FB. Lebih menyedihkan mahasiswa Morocco ketika diminta mengisi materi syarah Hadis 40 Nawawi, terpaksa membuka Youtube dan bertalaqqi dengan ustaz-ustaz Melayu di Jordan dan Tanah Air?? Apakah dia tidak mampu buka syarah Imam Nawawi terus? atau mungkin buka syarah Imam Ibn Daqiq al-'Eid? Ini adalah kenyataan yang sungguh memalukan bagi mahasiswa bertaraf ijazah di Maghribi atau negara Arab lainnya.

5- Kurangnya Adab Bersama Guru

Salah satu element yang paling penting untuk menghasilkan ilmu adalah adab bersama guru. Bayangkan Imam Syafi'i sahaja mematuhi segala perintah gurunya Imam Malik, padahal ilmu Imam Syafi'i tidak kalah hebatnya. Tentunya patuh di sini bukan berarti ijtihad-ijtihad fiqhi dan ilmu atau akidah - kerana ia akan berakibat pada menutup kebebasan berfikir seseorang. Yang dimaksud dengan mematuhi di sini adalah tidak menghargai manhaj gurunya dalam belajar. Contoh ketika guru tersebut memerintahkan untuk menghafal, maka wajiblah para murid tersebut menghafal tanpa perlu tanya untuk apa madah-madah tersebut dihafalkan? Pelajar yang mempertikai perintah gurunya dalam perkara ini tidak lain akan merugikan diri sendiri, kerana tentunya gurunya lebih airf dan berpengalaman untuk cara menghasilkan ilmu.

Kadang-kadang para murid juga kurang beradab ketika guru mengajar, seperti melakukan perbuatan-perbuatan abas, atau tidak konsentrasi ketika diajar. Para murid lebih suka berkhayal memikirkan perkara lain, bukan ilmu yang dituangkan.

Satu perkara lain bagi seorang murid adalah berkhidmat pada guru, kerana ia adalah salah satu sebab penting membuat ilmu tersebut berkat dan bermanfaat. Penulis cukup memberi contoh salah seorang guru penulis sendiri yang bernama KH Hannan Ma'shum, Kwagean, Kediri, Jawa Timur, Indonesia. Beliau menuntut ilmu di pondok penulis iaitu Pondok Pesantren Raudhatul Ulum, Kencong selama berbelas tahun. Selama di pondok, beliau mematuhi apapun itu perintah guru beliau iaitu KH Zamrodji yang juga merupakan guru penulis. Dengan berkat ini, ketika beliau pulang di kampung sebelah dengan pondok Kencong, beliau hanya memerlukan waktu 10 tahun, dapat membezarkan pondok beliau dari mula terasasnya sehingga sekarang mencapai lebih 3000 santri. Salah satu pesan beliau kepada penulis sejak dahulu adalah "من خدم خدم" (barangsiapa yang berkhidmat maka akan dikhidmati).

6- Aurad dan Riyadhah

Salah satu perkara penting dalam proses menghasilkan ilmu yang bermanfaat dan berkat adalah disertai dengan Aurad dan Riyadhah. Aurad di sini adalah beberapa wirid-wirid khusus seperti Hizib-hizb semisal Hizib Nashar, Autad, Bahr, atau selawat-selawat seperti Selawat Ibn Masyisy, selawat Dalail Khoirat, dan lain-lain yang dilazimkan pada diri seseorang untuk istiqamah membacanya setiap hari. Ini adalah penting untuk menjadikan wirid tersebut sebagai senjata ketika diperlukan. Tentunya senjata disini bukan berarti seperti pistol atau senapang, akan tetapi senjata dari ganguan-ganguan faktor X yang tidak terditeksi secara sains. Akan tetapi wujud kerana Allah berfirman tentang wujudnya sihir dan alam ghaib serta para jin yang menganggu!

Sedangkan Riyadhah pula bukan berarti olahraga yang digunakan dalam bahasa Arab Modern. Akan tetapi riyadhah di sini adalah mengolah tubuh raga untuk menahan kehendak nafsu. Misalannya seperti berpuasa Isnin Kamis yang merupakan jenis Riyadhah ajaran Sunnah. Begitu juga berpuasa Daud iaitu berpuasa sehari dan sehari tidak. Puasa ini dipuji oleh Rasulullah SAW. Dengan puasa seperti ini akan membuat nafsu kita terjaga. Dengan terjaganya nafsu, maka kecergasan menuntut ilmu akan senantiasa fresh!

Penutup

Mungkin ini sahaja yang penulis dapat tadwinkan beberapa kesalahan penuntut Melayu dalam proses menuntut ilmu. Penulis hanya berharap untuk tidak ada lagi mahasiswa Melayu yang membazirkan wang yang banyak tapi sangat sedikit yang benar-benar berkualiti. Bayangkan, negara Malaysia termasuk negara yang paling banyak mengirimkan pelajar di negara Arab seperti Mesir, Saudi, Morocco, akan tetapi berapa banyak ulama yang keluar dari negara tersebut? Dibandingkan dengan ulama yang dicetak oleh negara-negara jiran. Wallahu a'lam bissawab!!

No comments: