Monday, September 8, 2014

Kitab Selawat Syifa al-Qulub: Dalail Khayrat Abad Ini

Guru kami, Shaykh Muhammad Abu al-Huda al-Ya'qubi telah mengarang sebuah kitab selawat yang ibaratnya belum pernah ada yang menyusun sepertinya sebelum ini. Kitab ini diberi nama "شفاء القلوب في الصلاة على الحبيب المحبوب سيدنا محمد صلى الله عليه وآله وسلم" (Penawar hati tentang selawat ke atas junjungan kekasih yang dicintai, penghulu kita Nabi Muhammad SAW). Kitab ini pertama kalinya Shaykh telah mengedarnya pada malam walimah beliau iaitu Jumaat, 10 Dzu al-Qa'dah 1435H. Akan tetapi, beliau hanya memberi ijazah dan mensyarahkannya pada hari Ahad 12 Dzu al-Qa'dah 1435H setelah waktu Asar. 


Kitab Syifa al-Qulub
Dalam keterangan yang beliau berikan kepada semua murid beliau yang hadir, kitab ini dikarang selama 5 malam sahaja, dan tebalnya seperti Dalail al-Khayrat karangan Imam Jazuli yang terkenal itu. Menariknya, beliau menceritakan ketika kitab ini dikarang, tangan beliau seperti menulis tanpa henti dan mendahului lisan beliau, seperti seolah-olah ia datang daripada Allah SWT. Memang hakikatnya, kitab selawat karangan beliau ini tersusun dari sighat-sighat yang ajaib dan memiliki makna-makna yang agung serta mahal karyanya yang belum pernah penulis sendiri membacanya.

Kitab ini memiliki beberapa bab atau section. Pada fasal yang pertama, Shaykh Muhammad Abu al-Huda al-Ya'qubi telah memulai kitab beliau ini dengan mengarang selawat untuk Raja Muhammad VI dengan lafaz: "اللهم صل على سيدنا محمد صلاة تمكين لأمير المؤمنين * وتأييدا له بالأعوان المخلصين * بسر إنا مكنا له في الأرض وآتيناه من كل شيء سببا وعلى آله وصحبه وسلم". Beliau telah mengiqtibaskan ayat yang Allah SWT firman tentang Nabi Sulayman AS dan mengarahkannya kepada Raja Muhammad VI suapay beliau diberi maqam seperti maqam Nabi Sulayman AS.

Fasal kedua adalah tentang selawat pembukaan bacaan selawat kepada Rasulullah SAW. Ia merupakan selawat tapi tersusun selayaknya pembukaan sebuah kitab yang menceritakan sifat dan akhlak Nabi Muhammad SAW. Pada fasal ini juga Shaykh telah mengisyarahkan manhaj beliau dengan kalamnya: "فيقول خادم الجناب النبوي الشريف المتذلل بين يدي مولاه الكريم اللطيف محمد اليعقوبي الحسني الإدريسي المشتهر بأبي الهدى وقاه الله الردى الأشعري المالكي مذهبا القادري والشاذلي مشربا". Dari kalam ini, jelas sekali Shaykh Abu al-Huda adalah seorang Syarif Hasani, yang terkenal dengan laqab "Abu al-Huda", dan berakidah Asy'ari, bermazhab Maliki, bertarikat Qadiriyyah dan Syaziliyyah. Maka sangat jelas berbeza dengan ulama yang tidak mau menunjukkan manhaj mereka atau suka bergantung dengan istilah wasatiyyah yang penuh rekadaya ini. Shaykh Abu al-Huda sangat tegas dalam menunjukkan manhaj beliau tanpa perlu malu-malu konon tidak mau berpihak!

Selanjutnya adalah tentang selawat pujian kepada junjungan Nabi Muhammad SAW. dilanjutkan dengan selawat-selawat para wali kepada Nabi Muhammad SAW.

Lalu Shaykh membuat sebuah fasal khusus menyusun selawat yang terkarang dengan huruf Arab yang tidak memiliki titik. Ini dikarenakan Shaykh pernah menyebutnya pada hari tersebut bahawa huruf Arab yang tidak memiliki titik memiliki keistimewaan tersendiri di kalangan ulama. Kekuatannya melebihi huruf yang tidak memiliki titik.

Shaykh meneruskan selawat beliau dengan fasal Selawat Asma al-Husna kepada Nabi Muhammad SAW. Baru setelah itu selawat penawar dari segala ubat. Pada fasal ini, selawat tersebut diperuntukkan untuk mengubati beberapa penyakit secara spesifik.

Pembacaan Selawat beramai-ramai merupakan adat umat Islam di Morocco dan berbagai belahan dunia Islam dari barat sampailah timur
Fasal selanjutnya adalah selawat untuk menunaikan hajat. Insya Allah bagi yang berhajat, boleh memohon dengan susunan selawat tersebut, dan diharapkan doanya makbul insya Allah!!!!!

Yang mengiringi fasal selawat syifa adalah selawat yang disusun dari sighat-sighat al-Quran sendiri kepada Nabi Muhammad SAW.

Lalu Shaykh membuka fasal tenttang huruf-huruf Arab kepada Nabi Muhammad SAW. Pada fasal ini, Shaykh menyusun selawat yang terdiri dari rumuz-rumuz berbagai ilmu dalam bentuk selawat, seperti perubatan, engineering, dan lain-lain ilmu huruf yang ajaib.

Sebelum penutup, shaykh membuat fasal khusus selawat untuk para ulama atau ilmuan. Tujuannya agar dengan selawat ini, segala kemusykilan akan ilmu pengetahuan akan diselesaikan. Maka Shaykh memulai dengan selawat inti dari segala ilmu iaitu ilmu usuluddin: "اللهم صل على من غرس شجرة أصول الدين ورفع آساس التوحيد واليقين سيدنا محمد أعلم الناس برب العالمين".

Lalu shaykh pun menutup selawatnya dengan doa selawat agar mendapatkan husnul khatimah dan kebahagiaan di dunia dan akhirat!

Syaikh Muhammad Abu al-Huda al-Ya'qubi
Inilah sebahagian kehebatan Shaykh Muhammad Abu al-Huda al-Ya'qubi yang berasal dari Syam! Beliau adalah seorang ulama sufi yang lahir pada tahun 1963 M di Damascus dalam sebuah keluarga ilmu dan kesolehan.

Menuntut ilmu secara talaqqi dibawah bimbingan bapanya Syaikh Ibrahim al-Ya'qubi, dan atuknya Syaikh Ismail al-Ya'qubi RH, bapa saudaranya Syaikh Muhammad al-Arabi al-Ya'qubi RH, bapa saudara ayahnya Syaikh Muhammad al-Syarif al-Ya'qubi RH.



Mereka semua adalah guru yang diberi kehormatan untuk memimpin kursi Imam Maliki di Masjid Amawi di Damascus. Beliau juga sudah diberi penghormatan mengajar di masjid Amawi ketika umur masih 17 tahun.

Beliau telah dipilih oleh Raja Morocco untuk memberikan Durus Hasaniyyah di depan raja pada tahun 1433H.

Beliau memiliki banyak karangan yang sudah tercetak dan tersebar di berbagai negara Arab dan Eropah.

Pujian Shaykh Muhammad Abu al-Huda al-Ya'qubi Kepada Raja Morocco

Pada hari Jumaat, 10 Dzu al-Qa'dah 1435 H, Shaykh Muhammad Abu al-Huda al-Ya'qubi telah melaksanakan hajat beliau iaitu kenduri pernikahan beliau yang dilaksanakan di kediaman beliau, Rabat, Morocco. Penulis sempat menghadiri acara yang penuh barokah ini sekaligus disertai para jemputan dari kalangan ulama seluruh dunia; seperti Shaykh Faisal Abdul Razak, salah seorang ulama Canada yang juga merupakan khalifah Shaykh al-Ya'qubi; Prof. Dr. Idris al-Fasi al-Fihri, Imam Besar Masjid Qarawiyyin yang juga menjabat sebagai ulama besar Qarawiyyin University; dan banyak ulama lain.

Syaikh Muhammad Abu al-Huda al-Ya'qubi
Pada acara tersebut, Sahibul Hajat telah memberikan buku yang berisi pujian-pujian kepada junjungan Rasulullah SAW sempena menyambut pernikahan ini. Bagi beliau tiada yang lebih utama untuk dilakukan pada malam berkumpul sambil bergembira selain berselawat mengenang dan memuji sebaik-baik makhluk di dunia ini. Buku ini berjudul "تشنيف الأسماع بجواهر المديح والسماع" (Menikmati pendengaran dengan permata-permata pujian dan mendengarkan). Menariknya, buku ini merupakan sejumlah pujian-pujian yang dikarang oleh pujangga-pujangga sufi sejak beratus tahun dahulu.

Kitab Tasynif al-Asma' bi Jawahir
al-Madih wa al-Asma'


Kitab kecil ini dimulai dengan pujian Shaykh Muhammad Abu al-Huda al-Ya'qubi terhadap Raja Morocco yang memberi perlindungan kepada beliau kerana situasi yang tidak aman di Syria, iaitu Amir al-Mukminin dan Penjaga agama DYMM Raja Muhammad VI (semoga Allah menolongnya). Bayt-bayt syair tersebut adalah seperti berikut:

أرى في وجهك النبوي نورا # بديع الحسن كالسحر الحلال
تحب الصالحين وأنت منهم # وفيك تجمعت غرر الخصال
ملكت قلوب شعبك لا بمال # ولكن بالتواضع والفعال
هنيئا للبلاد بكم مليكا # تقود الشعب نحو ذرى المعالي
هنيئا للبلاد بكم إماما # يصون الدين من خطر انتحال
أقر الله عينك في ولي # لعهدك يافع حسن الخصال
وشد الله أزرك في شقيق # رشيد بالمفاخر ذي اشتمال
وأبقى الله هذا البيت عزا # لأمتنا وحرزا للكمال


Aku melihat pada wajahmu yang bersifat nabi seperti cahaya,
Keindahan yang cantik layaknya pesona yang halal;
Engkau mencintai para salihin dan engkau termasuk dari mereka,
Dan pada engkau jualah terkumpul segala kesempurnaan budi pekerti;
Engkau memiliki hati-hati rakyatmu bukan dengan harta,
Akan tetapi dengan sifat tawaduk dan tindakan;
Bahagialah bagi negara sebab engkau sebagai Raja,
Engkau memimpin rakyat seperti harga kemulian yang sangat tinggi;
Bahagialah bagi negara sebab engkau sebagai Pemimpin,
Menjaga agama dari bahayanya penipuan;
Allah menenangkan matamu dengan waktu,
Kepimpinanmu pada waktu yang sangat muda dan baik keadaannya;
Semoga Allah melebihkan kekuatanmu melalui saudara,
"Rasyid" dengan kebanggaan yang ia miliki;
Semoga Allah mengabadikan bayt-bayt Syair ini dengan keagungan,
Bagi umat kita dan menjaganya untuk kesempurnaan!

Sungguh indah lantunan-lantutnan Syair memuji Raja Muhammad VI dalam buku ini. Bahkan Shaykh Abu al-Huda juga menetapkan bahawa Raja Muhammad VI adalah penjaga Ahli Sunnah Wal Jamaah, yang bermanhaj Abu al-Hasan al-Asy'ari. Juga penjaga mazhab Maliki sebagai mazhab fiqh bagi negara Barat Islam. Dan penjaga tasawwuf Imam Junayd al-Baghdadi melalui tarikat-tarikat sufiyyah yang ada di Morocco dan seluruh dunia secara amnya.

Raja Muhammad VI al-Alawi al-Hasani
Maka sangat jelas kepada penulis, keagungan Raja Muhammad VI al-Hasani al-Hasyimi al-Alawi al-Qarsyi sebagai seorang pemimpin dunia Islam yang terulung, seperti juga Sultan-Sultan Melayu yang masih setia menjaga manhaj ulama Nusantara yang istimewa iaitu Akidah Asy'ariyyah, Fiqh Syafi'i, dan Tasawwuf Junayd al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali, seperti Sultan Perak, Brunei dan lain-lain lagi.

Thursday, September 4, 2014

Mencari Ilmu di Maghribi (Siri ke 8 - Proses Permohonan PHD di Universiti-Universiti Morocco)


Pada kesempatan kali ini, penulis ingin ikut mengkongsi kepada pembaca cara-cara untuk masuk ke dalam university di Morocco untuk melanjutkan pengajian PHD di sini.

Perlu diketahui, bahawa di Morocco, tidak senantiasa PHD akan dibuka pada setiap tahun. Akan tetapi Program PHD di Morocco berawal dari program Master. Lalu pada tahun ketiga master berjalan, pihak university akan membuka peluang PHD dengan nama maslak yang hampir sama dengan masternya. PHD ini berada dibawah naungan markaz takwin duktorah di university berkenaan. Berikut cara mengajukan PHD untuk pelajar asing:

1- Seseorang sebelum mengajukan berkasnya, dia perlu dan wajib mengetahui dahulu apa sahaja nama markaz PHD yang buka.

2- Menulis proposal PHD yang akan diajukan; daripada judul, diskripsi proposal, sebab-sebab kajian dan manhaj.

3- Menyiapkan berkas PHDnya seperti borang yang dikeluarkan oleh pihak AMCI.

4- Mengirimkan berkasnya kepada channel  diplomatik rasmi. Kalau mahasiswa tersebut sudah pernah menjalani pendidikannya di Morocco dan berdaftar di AMCI, maka ia boleh mengajukan langsung melalui Kedutaan setempat. Kalau mahasiswa tersebut belum pernah menjalani pendidikan di Morocco, maka ia harus mengajukannya di Kementrian Pelajaran Malaysia bagi Malaysia, di Kementrian Agama bagi Indonesia.

5- Mengikuti sebarang test atau interview yang ditetapkan oleh Rais Markaz Duktorah.

6- Kalau diterima, maka tinggal mengeluarkan rukhshah belajar di Kementrian Pelajaran Tinggi Morocco melalui AMCI di Rabat, Ibu Kota Morocco.

7- Membawa rukhshah tersebut untuk daftar di university berkenaan, dan menerima musyrif.

N/B: Pengajian PHD di Morocco memakan masa 3 tahun. Setiap mahasiswa wajib mendaftar ulang PHD nya setiap tahun disertai dengan laporan kegiatan ilmiah seperti nadwah dan apa-apa penulisan ilmiah yang diterbitkan di dalam journal oleh mahasiswa tersebut pada tahun itu. Di Morocco setiap mahasiswa wajib mengikuti minimal 200 jam seminar akademik selama 3 tahun, dan menulis di journal ilmiah minimal 2 terbitan. Mahasiswa tersebut juga wajib menyelesaikan PHD dalam masa 3 tahun. Penambahan tahun ke empat wajib disertai dengan surat permohonan yang ada alasan yang kukuh serta bukti, seperti sakit dan lain-lain. Penambahan tahun kelima adalah yang terakhir, yang kalau gagal menyelesaikan dalam masa ini, maka mahasiswa tersebut gagal mendapatkan PHDnya.


Keuntungan Indonesia Memiliki Nahdlatul Ulama

Pada hari Selasa lepas, iaitu 2 September 2014, penulis telah diundang untuk bersama-sama dengan jajaran pengurus baru PCINU- Maroko (Pengurus Cabang Istimewa Nahdlatul Ulama Maroko) menziarahi guru penulis iaitu Dr. Khalid Zahri, Perpustakawan Diraja Morocco yang juga seorang tokoh pemikir akidah Asy'ariyyah Morocco. Pada pertemuan ini, penulis berkesempatan melihat kembali documentary tentang asbab wujudnya organisasi Nahdlatul Ulama yang dibina sebelum zaman kemerdekaan Indonesia lagi. Ia adalah dampak dari Lajnah Hijaz yang dikirimkan ulama Jawa ke Hijaz tepatnya Jeddah untuk bertemu dengan Raja Sa'uud dan memohon agar beberapa hak kebebasan bermazhab dan beberapa isu Islam dunia tidak disalahgunakan oleh Kerajaan Saudi yang terkenal berafiliasi dengan pemikiran Wahabi. Walaupun semua permintaan tidak dikabulkan, akan tetapi permintaan yang paling penting dikabulkan; iaitu tidak memindahkan atau meruntuhkan maqam Sayyidina Rasulullah SAW.



Keuntungan yang dimaksud oleh penulis, adalah kepentingan Ahli Sunnah Wal Jamaah di Indonesia terjaga kehormatannya dan keintelektualannya kerana dengan adanya organisasi ini, ia dapat mensatukan semua kelompok yang berada pada misi yang sama: iaitu "Akidah Asy'ariyyah dan Mathuridiyyah", "Fiqh Mazhab Syafi'i akan tetapi tetap menerima 3 mazhab lainnya", "Bertasawwuf dengan pendekatan Imam Junayd al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali". 3 asas penting ini adalah tujuan utama Nahdlatul Ulama (NU). Dengan syiar ini, beberapa keuntungan yang membuatkan Ahli Sunnah di Indonesia lebih kehadapan dibandingkan dengan Malaysia:

1- Persatuan Ulama Indonesia:

Satu perkara yang pasti di Indonesia, terutama Pulau Jawa, Bali, Madura, dan Selatan Sumatera; ulama-ulama Ahli Sunnah dengan 3 prinsip di atas bersatu membela akidah mereka. Ini membuatkan para ulama ketika terjadi konflik sekalipun antara mereka, mereka tetap akan mendahulukan NU kerana sudah dianggap sebagai organisasi yang sakral. Apatah lagi, ia organisasi tua umurnya, dan penuh berkat kerana diasaskan oleh Hadratus Syaikh KH Hasyim Asy'ari yang merupakan Kyai kepada Para Kyai!

Maka oleh itu, walaupun semua kyai memiliki warna dakwah yang berbeza, pendekatan yang berbeza, membuat berbagai organisasi lain atau institusi yang berbagai; mereka tetap kembali kepada NU sebagai organisasi asas yang dipegang bersama sebagai panutan! Maka jelas sekali tidak akan ada lagi organisasi Asy'arian yang mampu berkiprah seperti NU di Indonesia. Maka Para Kyai menerima hakikat ini dan ketika terjadi perpecahan, maka mereka akan kembali pada NU.


Ini adalah suatu perkara yang tidak ada di Malaysia. Di Malaysia; berbagai usaha dilakukan untuk memiliki organisasi yang dapat menyatukan tok-tok guru, atau para syaikh, maupun pak syed atau habaib di Malaysia untuk dikehadapankan secara organisasi menjawab isu-isu berbangkit di Malaysia. Ketika ada organisasi baru dibina, yang mungkin boleh buat, ia akan berjalan sendiri seperti layaknya organisasi Ahli Sunnah lainnya. Misalnya ada Yayasan Sofa, ada Yayasan Pembangunan Pondok Berhad yang bertujuan menjaga kepentingan pondok-pondok; ada Persatuan Ulama Malaysia yang tujuannya menyatukan ulama, akan tetapi tidak semua ulama sunni dapat bersatu dalamnya; juga ada Aswaja yang membawa pendekatan membela akidah Asy'ariyyah daripada ancaman Wahabi akan tetapi diisi dengan beberapa personal Ahbash; juga organisasi baru bernama SUNNI yang bertujuan untuk menjadi seperti NU di Indonesia, akan tetapi sayangnya masih belum mampu kerana masih semur jagung dan masih belum disertai oleh seluruh ulama Ahli Sunnah di Malaysia. Maka penulis tidak dapat melihat ada organisasi di Malaysia yang mampu bergerak seperti NU di mana para kyai setia bersamanya, dia ia adalah demi ummah Indonesia!

2- NU dan Pesantren

Salah satu element paling penting dalam NU adalah pengikutnya yang setia adalah seluruh santri-santri pondok pesantren tradisional atau terkenal dengan istilah pondok salaf. Tentunya yang dimaksud dengan salaf di sini bukan claim salafi seperti yang diakui oleh kelompok Wahabi yang mana mereka tidak suka dipanggil Wahabi akan tetapi lebih suka dipanggil Salafi.

NU tidak perlu mengadakan pendaftaran masal untuk organisasinya. Asalkan ada pesantren dan santri, maka mayoritas atau bahkan semua dari pesantren salaf ini adalah berpandangan NU! Itu adalah kepastian. Yang menariknya, hampir semua pesantren ini juga tidak pernah mendaftarkan institusi mereka dengan NU, tapi mereka adalah loyal dengan NU. Inilah pergerakan Ahli Sunnah yang sangat kompak dan militan dalam arti kesetiaan dalam organisasi (bukan militan bermakna ekstrimis).

3- NU dan Politik

Politik adalah sebuah perkara penting dalam kehidupan manusia dan agama. Akan tetapi, politik juga memainkan peranan penting dalam naik dan runtuhnya sebuah tamadun. Juga yang paling banyak berdosa menganiya banyak ulama yang terzalimi kerana tekanan politik.

Oleh itu, NU telah menetapkan sebuah prinsip yang sangat bagus dan dewasa untuk meletakkan diri mereka di antara partai-partai politik. Nu berprinsip bahawa ia adalah LSM atau NGO yang membebaskan tubuhnya dari mana-mana partai politik, dan tidak mewajibkan pengikutnya mengikut mana-mana ideologi politik, kerana politik adalah bersifat ijtihadi yang bukan qat'ie. Yang ada mungkin hanya imbauan sahaja yang tidak rasmi.

Ini adalah satu perkara yang tidak ada di Malaysia. Di Malaysia pengaruh politik terlalu kuat. Semua orang dan organisasi seperti diminta dan disuruh untuk aktif dalam politik. Walaupun banyak organisasi yang berusaha menjadi neutral, akan tetapi tuduhan partisan tetap tidak lepas terhadap mereka.

4- Jam'iyyah Thoriqah Mu'tabarah Nahdliyyah

NU memiliki suatu badan rasmi yang memayungi semua tarikat-tarikat sufi yang dianggap muktabar olehnya. Muktabar disini berarti legal untuk diamalkan dalam lingkungan warga NU. Tarikat yang sudah masuk di dalamnya mencapai 50 tarikat sufi termasuk dari cabang-cabangnya. Ini penting agar ketika ada fatwa-fatwa serong terhadap sebuah tarikat sufi, maka Jam'iyyah ini akan dikehadapankan untuk membela tarikat tersebut secara moral dan ilmiah!

Logo Jam'iyyah Ahli Thariqah al-Muktabarah al-Nahdliyyah


Sayang di Malaysia tidak terdapat Jam'iyyah yang kuat seperti ini, sehingga mudah difatwakan sesat dan tidak ada yang mampu meneliti kembali mengapa dan kenapa tarikat itu sesat. Kalau memang sesatnya adalah disebabkan oleh alasan yang khilafiyyah maka sudah sepatutnya fatwa tersebut dapat dipertikaikan dan diajukan kepada para akademisi untuk mengkritisinya.



5- Gerakan Dakwah yang Aktif dan Masif

Islam dan dakwah tiada berpisah. Inilah hakikatnya, Islam dari awal lahirnya senantiasa mementingkan dakwah. Dakwah NU tidak seperti dakwah versi tabligh yang lahir di rantau India. Walaupun NU tidak menolak dakwah tabligh dan masih menganggapnya sebagai bahagian dari Islam yang diterima di Indonesia, akan tetapi NU sebenarnya memiliki metode dakwah tersendiri yang kental di Nusantara.

Dakwah yang dimaksud adalah dengan cara pengajian, tahlilan, selawatan, selametan, dan fida'an. Semua amalan ini adalah cara pendekatan dakwah NU khas Nusantara. Islam tersebar dengan cara-cara ini. Ketika seseorang sudah terlalu capek bekerja, maka pada waktu malamnya ia akan kembali mengingati Allah melalui medium dakwah NU ini. Dan tradisi ini menjadi kental bukan hanya di Jawa, bahkan seluruh Nusantara, bahkan melintasi benua melalui Cabang-Cabang Istimewa NU Luar Negeri.

6- Lembaga Bahtsul Masail

NU memiliki mekanisme khusus untuk proses menggali hukum dan mengeluarkan fatwa. Mekanisme tersebut adalah porgram Bahtsul Masail. Program ini dipupuk pertama kali oleh para ulama ketika membincangkan suatu perkara harus duduk bersama, membawa kitab sebagai hujjah. Lalu kitab tersebut dibacakan depan ulama lain, agar dinilai benar apa tidak pemahaman teks tersebut, lalu dipilih pendapat-pendapat yang ada dengan conteks yang paling sesuai dengan persoalan dan medan yang sedang dilalui.



Program ini telah dibina secara asas di pesantren-pesantren seluruh Jawa bahkan Indonesia. Seseorang yang mengikuti Bahtsul Masail wajiblah mampu membaca kitab Arab gundul secara fasih, kerana dia nanti dituntut untuk membaca kitab tersebut dihadapan audiensi untuk dinilai kebenaran kefahaman teks tersebut. Ketika ada persoalan, surat undangan kepada para murid atau kyai akan disertai dengan diskripsi masalah dan persoalan. Lalu dibahas pada hari yang ditentukan. Para undangan akan membawa ibarat-ibarat dari kitab-kitab turats atau kuning. Lalu berhujjah didepan audiensi.

Sidang akan dipimpin oleh seorang moderator. Lalu dirumus oleh perumus yang terdiri dari para asatizah yang sudah senior dan pengalaman dalam berbahtsu. Nanti dikawal oleh pentasheh yang berstatus kyai yang dihormati dan dituakan. Maka apapun jawaban akan bersifat jama'ie, dan kesepakatan bersama setelah proses debat ilmiah tersebut. Kalau para undangan tidak mampu menyelesaikan, maka persoalan tersebut akan dikatoogrikan sebagai mauquf atau diberhentikan dan mungkin akan dinaikkan pada acara yang lebih besar.

Acara Bahtsul Masail berawal dari NU ranting, lalu cabang, lalu wilayah dan paling besar adalah di Muktamar NU. Sedangkan sayap pesantren yang mencetak ulama-ulama NU juga memiliki forum-forum bahtsul masail yang setia dengan NU seperti FMPP Jawa Madura, FBMPP Pare, FMPP Putri dan lain-lain. Ini semua tidak kalah pentingnya dalam organisasi NU untuk terbuka dalam menjawab persoalan-persoalan faktual lainnya. Dan yang terpenting adalah bersifat transparan sehinggakan hujjahnya diketahui ramai, berbeza dengan Majlis Fatwa yang mengeluarkan keputusan beberapa potong kalimat, dan tidak diketahui hujjahnya dan alasan serta bukti yang nyata!

Penutup

Mungkin ini sahajalah sedikit sebanyak dari apa kelebihan yang terdapat dalam NU yang tidak dimiliki oleh mana-mana organisasi Islam dunia, juga Malaysia. Dengan kekentalan tradisi ini, sehingga membuatkan rakyat awam Indonesia dapat mengetahui akidah seseorang hanya dengan suatu istilah iaitu dia Orang NU atau dia orang Muhammadiyyah. Mengapa? kerana NU mewakili Asy'ariyyah dan Mathuridiyyah selain bertaklid pada 4 mazhab dan menghiasi dengan tasawwuf tadi. Sedangkan organisasi lawannya adalah Muhammadiyyah yang menolak bertaklid, dan membawa dakwah pembaharuan yang konon lebih modern dan sesuai zaman. Maka tidak lain, Muhammadiyyah kadang juga identik dengan cop kepada kelompok Wahabi. Wallahu a'lam Bissawab!!!

Wednesday, September 3, 2014

Nasihat Buat Penuntut Ilmu Melayu

Ulama Islam dalam tradisi yang sejak lama telah mengarang banyak kitab tentang tatacara atau adab menuntut ilmu. Ini adalah penting, agar ilmu yang kita hasilkan adalah ilmu yang penuh berkah, manfaat di dunia dan akhirat. Sebut saja kitab Ta'lim al-Muta'allim oleh Zarnuji, kitab Adab Ta'lim wa al-Muta'allim oleh KH Hasyim Asy'ari, kitabTanbih al-Muta'allim oleh KH Maisur Sindi, dan seperti kitab Hilyatu Thalibi al-Ilmi oleh Ulama Salafi Bakr Abu Zayd.

Tentunya kitab-kitab tersebut dikarang oleh ulama tersebut pada zaman mereka, maka konteks adab dan tatacara menuntut ilmu juga sesuai dengan konteks zaman tersebut. Walaupun ia mungkin tidak banyak berubah dengan zaman sekarang, tapi penulis ingin sedikit menyebutkan beberapa isu yang menjadi halangan hasilnya ilmu yang manfaat dan barakah bagi khusus pelajar-pelajar Melayu yang penulis temui selama ini. Berikut adalah perinciannya:

1- Niat Menuntut Ilmu:

Kesalahan besar yang dilakukan oleh penuntut ilmu Melayu adalah menuntut ilmu untuk sekeping sijil dan kerana mencari profesi atau kerja. Seperti yang diajarkan Imam Zarnuji, seorang pencari ilmu tidak sepatutnya memasang niat menuntut ilmu untuk rezeki dan mencari jabatan atau gelar. Tujuan utama menuntut ilmu adalah kerana Allah Ta'ala dan kerana menghilangkan kebodohan. Seharusnya orang Menuntut ilmu kerana ia passionate dengan apa yang ia pelajari. Dengan ini, ilmu yang dihasilkan bukan sebatas lulus atau hanya kerana hendak berkerja dengan profesi tersebut.

2- Berbangga dengan Negara Tempat Belajar

Salah satu penyakit paling besar dilanda pelajar-pelajar Melayu, adalah ingin belajar di negara-negara Arab, hanya kerana nama negara atau istilah "belajar oversea". Bagi mereka "Enta belajar Maghribi", "Enta thalib Mesir", "Enta mahasiswa Madina" adalah perkara penting dan yang paling menyedihkan, ada di kalangan orang tua yang bukan mementingkan illmu, akan tetapi hanya kerana tempat belajar anaknya. Misalannya, ada mahasiswa yang sebenarnya ilmunya masih kurang, lulus dengan nilai yang rendah ketika menjalani pelajaran di sekolah menegah atau tsanwiyyah, akan tetapi demi pride dan bangga-bangga; memaksa diri atau anaknya untuk menuntut di negara Arab seperti menghantarnya ke Mesir, atau Yaman. Padahal asas anak tersebut masih zero not to hero. Penulis sendiri banyak kali bertemu dengan mahasiswa di berbagai negara Arab yang sememangnya masih tidak layak untuk menuntut ilmu di negara-negara Arab kerana bahasa Arab yang masih zero. Belum lagi ilmu asas dan alat pengajian Islam masih zero atau minimal. Bayangkan ada mahasiswa belajar di peringkat ijazah, masih tidak dapat membezakan antara isim ghoiru munsharif dan tidak, lalu ingin belajar di negara Morocco misalnya, ketika bahan-bahan pelajaran sudah setinggi masalik al-illat dan maqashid atau Alfiyyah Ibn Malik dalam Nahwu Sorof.

Apakah tidak ada lagi pondok atau madrasah di Malaysia sehinggakan perlu menghantar anak ke negara Arab? Apakah tidak ada lagi pondok-pondok yang berkualiti di negara jiran seperti Selatan Thailand dan Indonesia? Yang lebih sedih, berapa pelajar Malaysia yang dapat masuk ke Darul Musthofa Hadramaut Yaman, kerana tidak cukup syarat. Akan tetapi orang tua mereka masih berusaha menghantar anak-anaknya ke Yaman seperti Sana'a, Hudaidah dan lain-lain hanya kerana masih memimpikan anaknya dapat belajar dengan syaikh Arab. Ketahuilah bahawa sesungguhnya anak tersebut tidak akan mampu menyerap ilmu yang diperlukan kerana masih sangat kurang pengalaman ilmunya.

Penulis sangat sedih melihat ketika orang tua sudah tidak lagi percaya dengan pondok-pondok traditional Melayu atau Jawa di rantau Asia untuk mendidik anak-anak mereka. Atau kadang-kadang merasa terlalu pride untuk meletakkan anak di pondok-pondok Nusantara.

3- Menuntut Bahasa Arab di Tanah Arab

Kesalahan besar yang dilakukan penuntut Melayu adalah memilih tanah Arab sebagai pusat untuk belajar Bahasa Arab, ketika asas bahasa Arab mereka masih zero. Ini adalah kesalahan besar, kerana seseorang itu akan merasakan kesusahan memahami kaedah-kaedah nahwu dan sorof ketika yang menerangkannya adalah orang Arab yang menggunakan bahasa alien penunut tersebut. 

Perkara ini telah penulis buktikan ketika berada di Jawa sendiri. Bagaimana mungkin seseorang santri belajar istilah-istilah nahwu dan sorof dan meresapi dan menjiwai dalam dirinya ketika dia tidak faham apa yang asatizahnya jelaskan. Paling-paling mereka bergiat menghafal matbu' atau kurikulum sekolah atau pondok modern tersebut untuk lulus dan mendapatkan sijil lalu berangkat ke negara Arab.

Berbeza dengan santri-santri yang belajar nahwu dan sorof di sekolah Ma'ahad mereka dengan tekun, atau di pondok-pondok traditional seperti di Jawa, Selatan Thailand, atau Kelantan dan Kedah; kerana di situ, mereka akan mempelajari kaedah-kaedah nahwu sorof dengan bahasa mereka sendiri, sehinggakan dapat memahami mubtada' dan khabar atau fi'il dan fa'il dengan bahasa sendiri lalu dijiwai dalam jiwa mereka.

Penulis juga sudah menyaksikan sendiri kirisis ini pada banyak mahasiswa yang datang ke Mesir dan Morocco. Mereka tidak mampu membaca kitab walau sudah tahun akhir. Yang lebih menyedihkan, ada mahasiswa terjun bebas untuk datang ke Morocco semata-mata untuk belajar bahasa Arab dengan menggunakan biaya yang banyak, ketika keluarganya masih sangat tidak mampu, selain umur yang sudah berangka besar. Padahal ketika dia masuk di Institusi di Morocco pun, beliau tidak berhasil mendapatkan apa yang diharapkan. Apakah ini tidak membazir? mungkin dengan RM5000 yang dihabiskan pada perjalanan pertama ke Morocco sebenarnya cukup untuk membiayai anak di pondok traditional di jawa untuk jangka masa 1 tahun bahkan lebih. Janganlah hanya kerana nama Morocco atau Mesir, kita menyusahkan diri kita untuk mencari wang sana-sini, ketika ilmu itu tidak didapatkan sesuai yang diharapkan.

4- Mementingkan Perkara Selain Tujuan Hasilnya Ilmu

Penulis sangat kecewa kalau ada mahasiswa yang mengutamakan perkara lain selain untuk mendapatkan ilmu. Misalnya ketika cuti pergi ke Eropah untuk tujuan jalan-jalan atau bekerja dengan waktu yang sangat lama seperti 1 bulan atau 3 bulan, ketika waktu itu boleh digunakan untuk mengikuti dawrah di Madrasah-Madrasah Traditional atau dengan ustaz-ustaz yang berkelayakan. Ini adalah menyia-nyiakan peluang mereka.

Perkara yang sedih lagi, ketika hari-hari aktif belajar, mahasiswa menghabiskan waktunya dengan ber-online, atau ber-FB dan lain-lain. Sungguh penulis kecewa melihat musibah ini. Seharusnya perkara-perkara ini hanya untuk berhibur ketika jenuh seketika, atau menjadi medium komunikasi, bukan medium menuntut ilmu, kerana ilmu tidak mungkin didapatkan pada tempat yang penuh fitnah seperti FB. Lebih menyedihkan mahasiswa Morocco ketika diminta mengisi materi syarah Hadis 40 Nawawi, terpaksa membuka Youtube dan bertalaqqi dengan ustaz-ustaz Melayu di Jordan dan Tanah Air?? Apakah dia tidak mampu buka syarah Imam Nawawi terus? atau mungkin buka syarah Imam Ibn Daqiq al-'Eid? Ini adalah kenyataan yang sungguh memalukan bagi mahasiswa bertaraf ijazah di Maghribi atau negara Arab lainnya.

5- Kurangnya Adab Bersama Guru

Salah satu element yang paling penting untuk menghasilkan ilmu adalah adab bersama guru. Bayangkan Imam Syafi'i sahaja mematuhi segala perintah gurunya Imam Malik, padahal ilmu Imam Syafi'i tidak kalah hebatnya. Tentunya patuh di sini bukan berarti ijtihad-ijtihad fiqhi dan ilmu atau akidah - kerana ia akan berakibat pada menutup kebebasan berfikir seseorang. Yang dimaksud dengan mematuhi di sini adalah tidak menghargai manhaj gurunya dalam belajar. Contoh ketika guru tersebut memerintahkan untuk menghafal, maka wajiblah para murid tersebut menghafal tanpa perlu tanya untuk apa madah-madah tersebut dihafalkan? Pelajar yang mempertikai perintah gurunya dalam perkara ini tidak lain akan merugikan diri sendiri, kerana tentunya gurunya lebih airf dan berpengalaman untuk cara menghasilkan ilmu.

Kadang-kadang para murid juga kurang beradab ketika guru mengajar, seperti melakukan perbuatan-perbuatan abas, atau tidak konsentrasi ketika diajar. Para murid lebih suka berkhayal memikirkan perkara lain, bukan ilmu yang dituangkan.

Satu perkara lain bagi seorang murid adalah berkhidmat pada guru, kerana ia adalah salah satu sebab penting membuat ilmu tersebut berkat dan bermanfaat. Penulis cukup memberi contoh salah seorang guru penulis sendiri yang bernama KH Hannan Ma'shum, Kwagean, Kediri, Jawa Timur, Indonesia. Beliau menuntut ilmu di pondok penulis iaitu Pondok Pesantren Raudhatul Ulum, Kencong selama berbelas tahun. Selama di pondok, beliau mematuhi apapun itu perintah guru beliau iaitu KH Zamrodji yang juga merupakan guru penulis. Dengan berkat ini, ketika beliau pulang di kampung sebelah dengan pondok Kencong, beliau hanya memerlukan waktu 10 tahun, dapat membezarkan pondok beliau dari mula terasasnya sehingga sekarang mencapai lebih 3000 santri. Salah satu pesan beliau kepada penulis sejak dahulu adalah "من خدم خدم" (barangsiapa yang berkhidmat maka akan dikhidmati).

6- Aurad dan Riyadhah

Salah satu perkara penting dalam proses menghasilkan ilmu yang bermanfaat dan berkat adalah disertai dengan Aurad dan Riyadhah. Aurad di sini adalah beberapa wirid-wirid khusus seperti Hizib-hizb semisal Hizib Nashar, Autad, Bahr, atau selawat-selawat seperti Selawat Ibn Masyisy, selawat Dalail Khoirat, dan lain-lain yang dilazimkan pada diri seseorang untuk istiqamah membacanya setiap hari. Ini adalah penting untuk menjadikan wirid tersebut sebagai senjata ketika diperlukan. Tentunya senjata disini bukan berarti seperti pistol atau senapang, akan tetapi senjata dari ganguan-ganguan faktor X yang tidak terditeksi secara sains. Akan tetapi wujud kerana Allah berfirman tentang wujudnya sihir dan alam ghaib serta para jin yang menganggu!

Sedangkan Riyadhah pula bukan berarti olahraga yang digunakan dalam bahasa Arab Modern. Akan tetapi riyadhah di sini adalah mengolah tubuh raga untuk menahan kehendak nafsu. Misalannya seperti berpuasa Isnin Kamis yang merupakan jenis Riyadhah ajaran Sunnah. Begitu juga berpuasa Daud iaitu berpuasa sehari dan sehari tidak. Puasa ini dipuji oleh Rasulullah SAW. Dengan puasa seperti ini akan membuat nafsu kita terjaga. Dengan terjaganya nafsu, maka kecergasan menuntut ilmu akan senantiasa fresh!

Penutup

Mungkin ini sahaja yang penulis dapat tadwinkan beberapa kesalahan penuntut Melayu dalam proses menuntut ilmu. Penulis hanya berharap untuk tidak ada lagi mahasiswa Melayu yang membazirkan wang yang banyak tapi sangat sedikit yang benar-benar berkualiti. Bayangkan, negara Malaysia termasuk negara yang paling banyak mengirimkan pelajar di negara Arab seperti Mesir, Saudi, Morocco, akan tetapi berapa banyak ulama yang keluar dari negara tersebut? Dibandingkan dengan ulama yang dicetak oleh negara-negara jiran. Wallahu a'lam bissawab!!