Al-Hafiz Al-Muhaddits Syeikh Abdullah Bin Muhammad Bin Siddiq Al-Ghumari Rahimahullah Taala merupakan salah seorang tokoh ulama’ Maghribi yang bermazhab aqidah Asy’ari dan fiqh Maliki. Beliau yang juga merupakan seorang tokoh sufi telah banyak menyumbang jasa terhadap dunia Islam melalui karya-karya ilmiahnya dalam pelbagai bidang ilmu. Ketinggian ilmu beliau dalam bidang hadis menjadikan hampir kesemua tulisan beliau dipenuhi nas-nas nabawi. Selain itu, kefaqihan beliau juga dapat kita lihat dalam metod beliau bertaamul dengan nas-nas tersebut.
Salah satu tulisan beliau yang wajar diketengahkan adalah kitab Husnul Bayan Fi Laylatin Nisfi Min Sya’ban, yang menghuraikan berkenaan
· Sejarah permulaan sambutan nisfu Sya’ban
· amalan-amalan yang dianjurkan pada malam hari tersebut
· Hadis berkenaan kelebihan malam nisfu Sya’ban
· Berkenaan doa yang dikhususkan pada malam tersebut
· Berkenaan solat yang dikhususkan padanya
· Kesimpulan
Sebahagian terjemahan kitab…
Sambutan malam nisfu Sya’ban mula diadakan oleh para tabiin dari ahli Negeri Syam seperti Khalid Bin Ma’dan, Makhul, Luqman Bin Amir dan selainnya. Mereka memuliakan malam tersebut dan beribadah dengan bersungguh-sungguh padanya. Dikatakan bahawa telah sampai kepada mereka sebuah riwayat israiliyyah berkenaan perkara tersebut. Kemudian orang ramaipun mengikuti perbuatan mereka dan sambutan ini menjadi masyhur. Dan terjadi perbezaan pendapat ulama’ berkaitan hal ini.
Satu kumpulan ahli ibadah dari Basroh bersetuju dengan pendapat ahli Syam dalam membesarkan malam tersebut. Adapun kebanyakan ulama Hijaz mengingkari perbuatan tersebut bahkan membid’ahkannya. Antara ulama tersebut adalah Atho’, Ibn Abi Malikah dan fuqoha’ Madinah, ini juga merupakan pendapat Ashab Imam Malik. Ibn Waddhah meriwayatkan dari Zaid Bin Aslam, beliau berkata: “Kami tidak menemui seorangpun dari masyayikh dan fuqoha’ -di Madinah- yang berpendapat boleh menyambut malam nisfu Sya’ban, dan mereka juga tidak mengambil hadis Makhul. Mereka juga tidak berpendapat bahawa malam tersebut mmpunyai kelebihan berbanding selainnya.”
…tamat terjemahan…
Namun sebahagian ulama menyatakan bahawa menghidupkan malam nisfu Sya’ban adalah dianjurkan (mustahab). Antara ulama’ yang berpendapat sedemikian adalah Imam Mazhab Syafie seperti yang beliau sebutkan di dalam Al-Umm.
أخبرنا الربيع قال أخبرنا الشافعي قال أخبرنا إبراهيم بن محمد قال أخبرنا ثور بن يزيد عن خالد بن معدان عن أبي الدرداء قال : " من قام ليلة العيد محتسبا لم يمت قلبه حين تموت القلوب."
قال الشافعي : وبلغنا أنه كان يقال : إن الدعاء يستجاب في خمس ليال في ليلة الجمعة , وليلة الأضحى , وليلة الفطر , وأول ليلة من رجب , وليلة النصف من شعبان
أخبرنا الربيع قال أخبرنا الشافعي قال أخبرنا إبراهيم بن محمد قال رأيت مشيخة من خيار أهل المدينة يظهرون على مسجد النبي صلى الله عليه وسلم ليلة العيد فيدعون ويذكرون الله حتى تمضي ساعة من الليل , وبلغنا أن ابن عمر كان يحيي ليلة جمع , وليلة جمع هي ليلة العيد لأن صبيحتها النحر.
قال الشافعي : وأنا أستحب كل ما حكيت في هذه الليالي من غير أن يكون فرضا
Tidak dinafikan bahawa dalil-dalil yang digunakan dalam masalah ini kesemuanya adalah dhoif, namun ulama’ membenarkan beramal dengan hadis-hadis dhoif ini di dalam bab fadhoil a’mal dengan syarat-syarat tertentu. Imam Nawawi menyatakan di dalam Al-Majmuk:
قال أصحابنا : يستحب إحياء ليلتي العيدين بصلاة أو غيرها من الطاعات ( واحتج ) له أصحابنا بحديث أبي أمامة عن النبي صلى الله عليه وسلم { من أحيا ليلتي العيد لم يمت قلبه يوم تموت القلوب } وفي رواية الشافعي وابن ماجه : " { من قام ليلتي العيدين محتسبا لله تعالى لم يمت قلبه حين تموت القلوب } رواه عن أبي الدرداء موقوفا , وروي من رواية أبي أمامة موقوفا عليه ومرفوعا كما سبق , وأسانيد الجميع ضعيفة ...
واستحب الشافعي والأصحاب الإحياء المذكور , مع أن الحديث ضعيف , لما سبق في أول الكتاب أن أحاديث الفضائل يتسامح فيها , ويعمل على وفق ضعيفها
Kemudian Syeikh Abdullah Al-Ghumari meneruskan perbahasan berkaitan cara menghidupkan malam tersebut. Sebahagian ulama’ seperti Khalid Bin Ma’dan, Luqman Bin ‘Amir, dan Ishaq Bin Rahuyah menganjurkan agar sambutannya diadakan secara berjemaah di masjid. Manakala sebahagian ulama berpendapat makruh untuk mengadakan perhimpunan di masjid untuk solat dan berdoa secara berjemaah, namun tidak makruh jika seseorang itu solat bersendirian pada malam tersebut. Ini adalah pendapat Imam Auzaie. Syeikh Abdullah Al-Ghumari kemudiannya menyatakan bahawa bapa beliau berpegang dengan pendapat pertama, beliau menyeru ikhwannya agar berkumpul di Zawiyah Siddiqiyyah pada malam tersebut untuk berzikir, membaca Al-Quran dan berdoa.
Terjemahan kesimpulan (khulasoh) dari kitab beliau…
1. Sesungguhnya kelebihan malam nisfu Sya’ban telah sabit secara keseluruhannya (berdasarkan hadis-hadis) dan orang yang mengingkarinya (menolaknya) secara mutlak seperti yang dilakukan oleh Ibn Al-Arabi Al-Ma’afiri adalah salah.
2. Disunatkan untuk menghidupkan malam tersebut dengan pelbagai jenis ibadah. Dan hal tersebut dilakukan pada waktu malam seperti yang telah maklum dan tersebut di dalam hadis-hadis.
3. Perbuatan yang banyak dilakukan oleh orang awam pada malam hari tersebut selepas maghrib dengan membaca Surah Yaasin sebanyak 3 kali dengan niat yang pelbagai, diikuti dengan doanya yang masyhur adalah suatu bid’ah yang ditegah. Ia tidak sepatutnya dilakukan kerana terkandung di dalamnya keburukan-keburukan. Dan sejelek-jelek keburukan itu adalah i’tiqad bahawa dengan doa tersebut Allah akan mengampunkan segala perbuatannya dan memindahkan namanya dari golongan yang celaka kepada golongan yang bahagia. Maka dengan I’tiqodnya itu tadi, dia berterusan dalam kemaksiatan dan tidak bertaubat.
4. Sesungguhnya solat 100 rakaat, atau 50, atau 12, dengan cara yang khusus pada malam hari tersebut adalah satu perkara yang bathil, tidak ada asal dan tidak patut dilakukan. Dan sepatutnya seseorang itu bersolat sekadar kemampuannya tanpa ditentukan kadar tertentu.
5. Sayugianya bagi insan untuk menyambut kedatangan malam ini dengan taubat yang benar dan ikhlas agar dia berjaya mendapat anugerah Allah seperti dalam firman-Nya:
ياأيها الذين آمنوا توبوا إلى الله توبة نصوحا عسى ربكم أن يكفر عنكم سيئاتكم ويدخلكم جنات تجري من تحتها الأنهار يوم لا يخزي الله النبي والذين آمنوا معه نورهم يسعى بين أيديهم وبأيمانهم يقولون ربنا أتمم لنا نورنا واغفر لنا إنك على كل شيء قدير
…tamat terjemahan…
*Penerangan lanjut sila baca kitab beliau حسن البيان في ليلة النصف من شعبان
*Download kitab disini.
* Artikel ini dinukil dari tulisan Ustaz Zainul Abidin, pelajar tahun 2 University Qadhi Iyadl, Marakesh. Lihat: http://zainulislam94.blogspot.com/2014/06/malam-nisfu-syaban.html?fb_action_ids=793111970699218&fb_action_types=og.likes
1 comment:
Mohon izin, ummi copy artikel ini dihalaqah.net .
http://halaqah.net/v10/index.php?topic=20728.new#new
Post a Comment