Tuesday, June 10, 2014

Kenajisan Babi dan Sifatnya yang Digolongkan Sebagai Najis Mughalazah

Perdebatan isu kenajisan babi dan meletakkan posisinya sebagai najis mughalazah adalah sebuah isu khilaf di kalangan mazhab-mazhab fiqh yang berbeza. Akan tetapi, isu yang paling tidak terhormat adalah usaha-usaha untuk merubah suatu status pandangan sebuah mazhab yang sebenarnya berpegangan kepada "X" lalu dikatakan bahawa ia adalah"Y". Ini adalah sebuah tahrif atau penyimpangan. Lalu orang tersebut juga enggan menyebut hujjah sebenar kenapa mazhab tersebut memegang "X" bahkan hanya mencanang-canang pendapat "Y".

Perkara ini terjadi, kerana ada sebagian tokoh agama di Malaysia yang mengeluarkan pendapat yang tidak begitu disukai oleh muslimin Malaysia yang sejak dahulu berpegang dengan mazhab Syafi'I secara totok. Dalam usaha merubah wacana ini, tokoh agama tersebut dengan berani mengeluarkan qaul-qaul ulama dalam mazhab Syafi'I yang sebenarnya sudah ditarik oleh imam mazhab tersebut. Mereka berharap dengan adanya qaul imam mazhab tersebut itu nantinya dapat merubah persepsi pentaklid buta mazhab Syafi'I ini untuk mengikuti mazhab mereka. Sesungguhnya perkara ini adalah tidak patut, kerana isu khilaf seharunya dibicarakan oleh ahlinya bersama dengan ahlinya bukan kepada orang awam yang dikhuatirkan akan menjadi kesalah fahaman dan terpesong dengan polemik para ulama.

Qaul Mazhab Syafi'I yang mengatakan Babi tidak najis atau najis tapi najis ringan

Seperti yang diketahui oleh semua penuntut ilmu mazhab Syafi'I, bahawa kenajisan babi adalah tergolong najis ringan yang hanya perlu untuk dibasuh satu kali basuhan menurut qaul qadim @ pendapat Imam Syafi'I yang lama ketika masih di Baghdad. Para penganut mazhab ini juga tahu bahawa mazhab Jadidlah yang patut dipegang, bukan mazhab Qadim, kecuali beberapa masalah yang dibahas dalam bab lain oleh ulama-ulama tarjih mazhab agung ini. Akan tetapi, bukan isu babi ini yang dipilih untuk berpegang kepada mazhab qadim oleh mayoritas ulama mazhab ini kecuali sebahagian kecil dari mereka seperti Abu Ali al-Fariqi (w. 528). Telah dinukilkan oleh Imam Sulayman al-Kurdi dalam al-Fawaid al-Madaniyyah:

القديم هو الصحيح ولا مدخل للإلحاق هنا وفي التهذيب أن القديم قول عامة أهل العلم
(Pendapat mazhab Qadim adalah yang sahih dan tidak ada tempat masuk untuk menyamakan isu ini dengan anjing di sini. Dan dalam kitab al-Tahzib bahawa sesungguhnya mazhab qadim adalah pendapat keumuman ahli ilmu). [Rujuk: al-Fawaid al-Madaniyyah, 359-360].

Malah ada yang berani menukil pendapat Imam Nawawi bahawa beliau memilih untuk menganggap bahawa Khinzir adalah sufi seperti dalam al-Tanqih:

الأصح عند الأصحاب الإلحاق وهو الجديد. والمختار القوي في الدليل الاكتفاء بغسلة واحدة بل مقتضى الدليل طهارته كالأسد والذئب والفأرة ونحوها. وقولهم إنه أسوأ حالا من الكلب لا يسلَّم
(Yang lebih sahih menurut Ashab Syafi'I adalah menyamakan dengan anjing. Ia adalah qaul jadid. Pendapat yang dipilih yang kuat dalilnya adalah cukup dengan satu basuhan bahkan dalil menuntut untuk menunjukkan kesuciannya seperti singa, serigala, tikus dan sesamanya). [Rujuk: al-Tanqih Hamisy al-Wasit: 1/205].

Pentarjihan

Dalam mazhab Syafi'I, ulama telah melakukan kajian dan memutuskan sesuatu sesuai dengan manhaj usul yang diasaskan oleh mujtahid mazhab ini dengan tidak bersifat double standard. Ini adalah sifat disiplin mazhab Syafi'I yang telah ditanamkan oleh Imam Mazhab dan Ashabnya. Walaupun sepertinya Imam Nawawi yang merupakan ulama agung mazhab ini berpendapat seperti itu, tidak boleh tidak untuk kita hanya berpihak pada satu kitab beliau dan membuang pendapat beliau dalam kitab lain. Imam Nawawi telah berkata dalam kitabnya berjudul Minhaj al-Thalibin:

وما نجس بملاقاة شيء من كلب غسل سبعا إحداهن بتراب  والأظهر تعين التراب , و أن الخنزير ككلب
(Sesuatu yang terkena najis disebabkan dijilati oleh anjing maka basuhlah sebanyak 7 kali dan salah satunya dengan tanah. Pendapat yang lebih jelas adalah diwajibkan dengan tanah bukan lainnya. Sedangkan babi disamakan dengan anjing) [Rujuk: Minhaj al-Thalibin Hamisy Mughni al-Muhtaj: 1/238].

Ini jelas menunjukkan Imam Nawawi memiliki kata dua dalam isu ini sehingga kadangkala memilih untuk menyatakan bahawa babi diqiyaskan dengan anjing seperti pendapat ulama sebelumnya. 

Pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafi'I adalah qaul jadid sehinggalah ia yang disebut dalam kitab-kitab matan, ringkasan, dan bahkan yang difatwakan. Kalau kita berpegang pada pendapat Imam Nawawi di atas "مقتضى الدليل طهارته" maka ia jelas-jelas bertentangan dengan nas dari Firman Allah SWT:

" قُلْ لَا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَى طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَنْ يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنْزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ"
(Katakanlah (Wahai Muhammad): "Aku tidak dapati Dalam apa Yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu Yang diharamkan bagi orang Yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah Yang mengalir, atau daging babi - kerana Sesungguhnya ia adalah kotor).

Imam Ibn Hajar al-Haithami telah berkata: 
وعود الضمير للمضاف إليه سائغ على حد فإنه رجس كما هو التحقيق في الآية

(Kembalinya kata ganti "fainnahu" tersebut adalah kepada mudhaf ilaih "khinzir" seperti yang sedap difahami pada batasan kata "khizir itu adalah najis" seperti apa yang telah dikukuhkan dalam ayat tersebut) [Rujuk: Tuhfat al-Muhtaj: 1/327].

Imam al-Baidhawi telah berkata dalam kitab Tafsirnya: "فإنه أي فإن الخنزير أو لحمه قذر" (Sesungguhnya ia iaitu sesungguhnya khinzir atau dagingnya adalah jorok!) [Rujuk: Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta'wil: 2/460].

Selain itu, kalau kita rujuk kepada pendapat ulama mazhab Syafi'I dalam hal kenajisannya khamar, maka kita akan menjumpai mereka berlandaskan pada firman Allah SWT: " يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوه" (Wahai orang-orang Yang beriman! Bahawa Sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib Dengan batang-batang anak panah, adalah (Semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. oleh itu hendaklah kamu menjauhinya).

Dalam hal ini, telah dinukil dalam kitab Asna al-Mathalib oleh Zakariya al-Anshori bahawa Imam Nawawi memang pernah menukilkan bahawa makna "رجس"  di atas tidak menunjukkan najis: " قال في المجموع ولا دلالة ظاهرة في الآية لأن الرجس لغة القذر ولا يلزم منه النجاسة ولا من الأمر بالاجتناب انتهى وقد يجاب بأن الأدلة الشرعية جارية على العرف الشرعي والرجس فيه هو النجس" (Berkata Imam Nawawi di dalam Majmuk: tidak ada penunjukan yang zahir dalam ayat tersebut. Sesungguhnya kata rijsun itu secara bahasa adalah kotor, maka tidak semestinya ia menunjukkan arti najis ataupun perkara yang perlu untuk dijauhi. – tamat kata-kata Imam Nawawi. Maka dijawab: sesungguhnya dalil syarak yang berlaku sesuai uruf syarak bahawa kata rijsun adalah najis) [Rujuk: Asna al-Mathalib: 1/9].

Maka sangat jelaslah dalam mazhab Syafi'I bahawa maksud dari "رجس"  adalah najis bukan hanya sekadar kotor. Buktinya Imam al-Syafi'I sendiri di dalam al-Umm mengnaskan kenajisan khamar: " وكل ما أصاب الثوب من غائط رطب أو بول أو دم أو خمر , أو محرم ما كان فاستيقنه صاحبه وأدركه طرفه , أو لم يدركه فعليه غسله" (Setiap perkara yang mengenai baju seperti tahi basah, atau kencing, atau darah, atau khamar, atau benda yang diharamkan maka selagimana dia yakin dan melihat bahagian dari perkara tersebut ataupun ia tidak melihat sekali pun – tapi dia yakin terkena – maka wajib baginya untuk membasuhnya) [Rujuk: al-Umm: 1/72].

Maka dari sini sudah jelaslah kepada kita, bahawa mazhab yang dipilih untuk difatwakan adalah qaul jadid bukan qadim. Sedangkan isu kenajisan babi di tanah air Malaysia, penulis tidak melihat satu masyaqah pun untuk diterapkan. Maka sudah seharunya bagi kita umat Islam untuk tidak terlalu mudah menganggap samak najis babi atau anjing atau bahkan menghukumi kenajisan babi adalah sebagai sesuatu yang menyusahkan, kerana sesungguhnya ia tidak susah sama sekali!!!

1 comment:

Samudera Qaseh said...

Alhmdullilah...terima kasih atas pencerahannya.