Monday, November 2, 2009

Penangkapan MAZA - Utusan & Sikap Dari PGSM Tentang YADIM

JAIS tahan bekas Mufti Perlis
02/11/2009 2:54am

KUALA LUMPUR 1 Nov. – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin selepas beliau menyampaikan kuliah di sebuah kediaman di Taman Sri Ukay di sini malam ini.

Penahanan Mohd. Asri pada pukul 12 tengah malam itu dipercayai ada kaitan dengan fahaman Wahabi yang dikaitkan dengan beliau.

Sebelum beliau ditahan, sepasukan anggota polis dan pegawai JAIS telah berada di luar rumah banglo itu sejak pukul 8 malam.

Dianggarkan, terdapat hampir 1,000 orang hadir mengikuti kuliah tersebut.

Anggota polis dan JAIS mula memasuki pekarangan kediaman itu selepas orang ramai meninggalkan banglo tersebut kira-kira pukul 9.30 malam.

Pegawai JAIS kemudiannya dilihat berbincang dengan Mohd. Asri, sebelum dia dibawa tanpa digari ke Balai Polis Ulu Klang.

Mohd. Asri sempat memberitahu para pemberita yang turut berada di kediaman itu supaya mengikutnya ke balai polis tersebut kerana beliau mahu memberi penjelasan mengenai kejadian itu.

Turut berada di rumah banglo itu ialah Ahli Parlimen Ampang, Zuraidah Kamaruddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang, Saari Sungib.

Semalam, Mohd. Asri yang mengadakan sidang akhbar di sini mendakwa Persatuan Peguam Syarie Malaysia (Pgsm) memfitnahnya dalam satu memorandum yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.

Mohd. Asri yang juga kolumnis `Minda Dr. Maza’ dalam akhbar Mingguan Malaysia berkata, antara tuduhan fitnah dalam memorandum bertarikh 12 Oktober lalu yang dimuatkan di laman web Pgsm mendakwa beliau tidak mengiktiraf iktikad ahli sunnah dan keluar daripada mazhab Shafie, Hanafi, Maliki dan Hambali serta menolak hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_02.htm

Respon/Kenyataan Media PGSM-NGOs terhadap kenyataan akhbar Dr. Asri

Nov 2nd, 2009 | By webmaster | Category: Kenyataan Media, Utama

Kenyataan Media

Respons NGO-NGO Islam Terhadap Sidang Akhbar Dr. Asri Berhubung Memorandum Bantahan Perlantikan Beliau Sebagai Yang Di Pertua YADIM

Ahad, 1 November 2009

Kami, mewakili NGO-NGO Islam yang telah dikaitkan oleh Dr.Asri dalam sidang akhbar yang diadakan olehnya semalam (31 Oktober 2009) ingin membuat penjelasan-penjelasan berikut :-

  • Kami melahirkan rasa KEKESALAN kami di atas tindakan Dr. Asri memperbesar-besarkan dan mencari publisiti terhadap suatu perkara yang merupakan hak serta budibicara mutlak YDPA dan Kerajaan, yang mana menurut undang-undang, perlantikan YDP YADIM adalah kuasa YDPA dan Kerajaan.

  • Kami TEGASKAN bahawa adalah suatu sikap yang MENGECEWAKAN untuk beliau memperbesar-besarkan isu ini dan mengheret masyarakat umum ke dalam persoalan ini, sedangkan ia adalah isu dalaman pentadbiran agama negara kita, yang sepatutnya diselesaikan secara perbincangan tertutup dan berhikmah. Oleh itu, kami tidak berniat dan tidak berhasrat untuk membincangkan isu ini secara terbuka.

  • Kami turut merasa MUSYKIL dengan beberapa dakwaan beliau dalam sidang akhbar beliau termasuk dakwaannya yang ‘menolak’ tawaran perlantikan sebagai Yang Di Pertua YADIM sedangkan belum ada apa-apa pengumuman rasmi daripada pihak yang berkuasa dalam hal tersebut.

  • Kami mengakui memang kami telah mengambil langkah tegas untuk menyampaikan bantahan kami terhadap ura-ura perlantikan beliau sebagai YDP YADIM atas sebab-sebab maslahah ummah (kepentingan seluruh umat Islam) di Malaysia.

  • Dalam pengetahuan kami, di kalangan pihak berkuasa agama, tokoh-tokoh agama, pertubuhan-pertubuhan arus perdana sudah sekian lama tidak bersetuju dan tidak berpuashati dengan pendekatan Dr. Asri yang banyak menimbulkan keraguan dan polemik yang merugikan seperti dalam isu pencegahan khalwat oleh Pihak Berkuasa Agama, isu penggunaan kalimah Allah, isu amalan-amalan furu’ yang dikatakan bidaah di kalangan umat Islam dan lain-lain.

  • Merujuk kepada permintaan Dr. Asri agar kami mengemukan bukti tentang kenyataan kami, kami BERSEDIA pada bila-bila masa untuk bersemuka dan berbincang dengan beliau SECARA PERIBADI, kerana kami berpendirian bahawa isu ini adalah isu dalaman dan tidak wajar dibahaskan atau disensasikan secara terbuka. Tindakan beliau ini sekali lagi menggambarkan bahawa beliau adalah seorang yang tidak berhemah, tidak berhikmah, sekaligus menggambarkan beliau tidak sesuai memegang jawatan sebagai YDP YADIM atau jawatan-jawatan yang seumpamanya.

  • Tindakan kami menghantar memorandum kepada YDPA Agong adalah atas niat baik supaya kesepaduan umat Islam di Malaysia atas pegangan ahli sunnah wal jamaah TIDAK dirobek dan dimusnahkan oleh pendekatan yang tidak mengikut arus perdana. Kami tidak mahu suasana kacau bilau dalam amalan beragama berlaku di Malaysia.

Kami NGO-NGO Islam telah pun mengemukakan pandangan kami kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong dan kami menyerahkan kepada Ke Bawah Duli untuk mempertimbangkan pandangan jujur dan ikhlas kami tersebut.

Ditandatangani oleh :

……………t.t..………………….

MOHAMAD ISA BIN ABD RALIP

Presiden

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang menyokong Kenyataan Media/Respon ini :-

  1. Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM)
  2. Pertubuhan Muafakat Sejahtera (MUAFAKAT)
  3. Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajat Islam Malaysia (PKPIM)
  4. Yayasan Sofa Negeri Sembilan
  5. Yayasan Jenderami
  6. Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
  7. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
  8. Persatuan Alumni Kolej Islam (ALKIS)
  9. Persatuan Ulamak Malaysia (PUM)
  10. Jemaah Islah Malaysia (JIM)
  11. Yayasan Paksi Kedah
  12. Persatuan Ulamak Kedah
  13. Teras Pengupayaan Melayu (TERAS)
  14. Persatuan Ulamak Wilayah Persekutuan
  15. Institut Pengajian Tradisional Islam
  16. Khalifah Institut.
http://peguamsyarie.org/?p=1249



No comments: