Tuesday, March 19, 2013

Biografi Syaikhi al-Muhaddits Abdullah al-Talidi

Nama, Nasab dan Asal

Beliau adalah Abu Muhammad dan Abu al-Futuh, Abdullah bin Abd al-Qadir bin Muhammad al-Talidi. Nasab beliau sampai kepada wali agung Abdullah bin Maulay Idris atau Maulay Idris al-Shaghir yang ditanam di Fes yang merupakan anak kepada Maulay Idris al-Akbar Pembuka Tanah Maghrib, bin Maulay Abdillah al-Kamil, bin Maulay al-Hasan al-Mutsanna, bin al-Hasan al-Sabti, bin Sayyidina Ali KR. dan Sayyidatina Fatimah al-Zahra' binti Rasulillah SAW.

Dilahirkan di kampung "al-Shaf" yang termasuk dari kabilah "Bani Jarfath", sebuah daerah di Tetouan, Maghribi, pada hari Sabtu kelima belas dari bulan Sya'ban pada tahun 1347 H. Beliau berhijrah bersama bapanya dan seluruh keluarganya ke kota Tangier dan umurnya tidak sampai 10 tahun.

Langkah Awal Menuntut Ilmu

Untuk mempersiapkan diri beliau sebagai ulama yang akan datang, maka perkara pertama yang dilalui adalah  menghafal al-Qur'an dan beliau berhasil menghafal al-Qur'an ketika umur beliau belum baligh lagi di bawah bimbingan Syaikh Abd al-Salam al-Syaqaf dan kadangkala diganti oleh al-Muqri' Abd al-Salam Azuz. Setelah menghafal al-Qur'an beliau juga tidak berhenti untuk mentashih hafalan beliau dari semua kemungkinan kesalahan terjadi sehingga menjadikan beliau betul-betul itqan dengan al-Qur'an.

Ini adalah sebuah adat orang-orang Maghrib Aqsha (Tunisia-Al-Jazair-Maghribi-Andalusia-Maurintania) seperti yang direkodkan oleh Ibn Khaldun bahwa anak-anak mereka harus mendalami hafalan al-Qur'an dan bacaan dahulu sebelum mempelajari ilmu yang lain. Oleh itu keluarlah banyak huffaz dari Barat Islam yang ketika itu umur mereka belum mencapai baligh lagi (al-Muqaddimah Ibn Khaldun, 3:220).

Beliau memulakan mencari ilmu, diawali di Tanjah dengan menghafal beberapa mutun juga menghadiri pelajaran seperti al-Ajurumiyyah dengan syarah al-Azhariyyah, Matan Ibn Asyir dengan Syarah Miyarah sehingga beliau merasakan manisnya ilmu. Ini semua dilakukan dibawah bimbingan seorang Faqih bernama al-Sayyid Ibn A'isyah.

Setelah itu, beliau melanjutkan pelajarannya di sebuah Madrasah Agama di kota Tanjah yang terkenal dengan banyak ulama serta syuyukh yang mengajar di situ. Madrasa tersebut ketika itu diketuai oleh seorang tokoh besar Morocco yaitu al-Marhum Sayyidi Abdullah Ganun, pengarang kitab sastra Arab: al-Nubugh al-Maghribi. Termasuk guru-guru beliau ketika ini adalah al-Nahwi al-Muqri' al-Sayyid Abd al-Salam al-Khannus, al-Sayyid al-Faqih Abdullah bin Abd al-Shadiq al-Timsamani, al-Sayyid al-Musyarik Abd al-Hafiz Ganun, al-Nahwi al-Hasan al-Lamtuni, al-Sayyid al-Mufassir Ahmad Buhusain, al-Falaki Muhammad al-Sukairaij, al-Faqih Muhammad al-Wasini al-Sahili, al-Faqih al-Mubarak al-Wasini, al-Mudir al-Adib Abdullah Ganun, al-Allamah Abd al-Qadir al-Jazairi, dan banyak lagi.

Dalam proses menuntut ilmu ini, terlihat bahwa guru-guru beliau sangat bersungguh dalam mendidik beliau sehingga suatu ketika sedang membaca bab Haji, masuklah pembahasan menziarahi Maqam Nabi Muhammad SAW, maka seketika itu juga salah satu dari gurunya menangis sehinggakan jangutnya basah. Maka serentaklah para murid pun nangis merindui dan mencintai Nabi Muhammmad SAW.

Penghijrahan Ke Fes

Setelah beliau selesai pendidikan Ibtida' dan Tsanawi, dan merasa sudah memiliki sifat malakah maka beliau pun berhasrat untuk menuntut ilmu di kota Fes tepatnya di University al-Qarawiyyin yaitu university tertua di dunia yang telah mengeluarkan beribu ulama sejak abad ketiga hijrah lagi dan lebih tua daripada al-Azhar di Mesir. Sehingga beliau menukil sebuah pepatah: "Seseorang tidak akan dianggap alim di Maghribi selagi dia belum pernah menuntut di Fes".

Ketika beliau ingin berhijrah menuntut di Fes, Morocco ketika itu sedang dijajah oleh Perancis, sedangkan Tanjah dan wilayah utara Morocco pula dikuasai oleh Penjajah Spanyol. Maka beliau terpaksa mengunakan kerata api dan turun di Qashr Kabir dan berjalan kaki sehingga melintasi batas wilayah. Lalu beliau bertemu dengan sebuah masjid di kampung tersebut dan Imam masjid tersebut itupun memuliakan beliau dan menunjukkan jalan yang selamat ke Fes.

Waktu pertama kali beliau melihat kota Fes, beliau sangat kagum setelah sekian lama hanya mendengar cerita guru-guru beliau akan terkenalnya kota ini dengan ulama. Juga terlihat banyak sekali kubur-kubur para ulama dan wali-wali yang tersebar di bukit dan lembah sekitar kota lama Fes ini. Termasuk dari mereka adalah para ulama yang lari dari Andalus ketika jatuhnya Andalus di tangan pihak Kafir Katolik Spanyol. Maka benarlah cerita yang diceritakan oleh Guru kepada Guru-guru beliau yaitu al-Sayyid al-Muhaddits Muhammad bin Ja'far al-Kattani RH dalam kitabnya Silwatu al-Anfas fi Man Halla min al-Ulama wa al-Shalihin bi Madinah Fes.

Syaikh al-Talidi menceritakan bahwa ketika memasuki Masjid al-Qarawiyyin, terlihatlah banyaknya kursi-kursi ulama dan tersebarnya pelajar-pelajar yang berbeza dari segi ilmu dan umur mereka. Ketika itu, jumlah pelajar adalah 5000 murid, dan ini adalah dikecualikan pelajar yang di luar nidzam rasmi yang mengikuti pengajian secara bebas. Beliau menceritakan bahwa suasana indah seperti ini sudah hilang ketika datangnya kemerdekaan. Bayangkan bagaimana ketika dijajah kita boleh giat menuntut ilmu agama, akan tetapi justru setelah kemerdekaan orang muslim tambah malas dan hilangnya rasa manisnya ilmu serta ditimpa musibah kekayaan yang mengkhayalkan.

Di sini, beliau sempat mengaji Muqaddimah Jam'i al-Jawami' di bawah bimbingan al-Allamah Abd al-Aziz bin al-Muhaddits Syaikh al-Jama'ah al-Sayyid Ahmad bin al-Khayyath. Bab al-Ibadat dari Mukhtashar al-Khalil Syarah al-Dardir dan al-Hikam Ibn Atho'illah bersama al-Allamah Idris al-Iraqi. Beliau mengaji ilmu tauhid bersama Abu al-'Abbas Banani. Juga pada beberapa ulama yang beliau lupa nama mereka seperti Ibn Abi al-Syita' al-Shanhaji. Beliau sempat menadah ilmu nahwu seperti Alfiyyah, ilmu hadis seperti Baiquniyyah, dan beberapa pelajaran dalam ilmu falak dan sastra.

Akan tetapi, beliau tidak lama tinggal di Madrasah Agung ini melihat ia sudah berada pada jalan keruntuhan, di mana ketika itu banyak terjadi mogok dari belajar oleh para murid dan terjadinya demonstrasi. Ditambah lagi, penjajah mula mempersimpitkan peluang-peluang emas menuntut ilmu di Madrasah ini. Melihat kenyataan ini, beliaupun mengambil keputusan untuk pulang ke kota beliau yaitu Tanjah.

Ketika beliau pulang dari Fes, beliau berkenalan dengan beberapa murid. Mereka meminta kepada beliau untuk dibacakan kitab Alfiyyah Ibn Malik dengan syarah al-Makudi. Pengajian tersebut dilakukan di rumah seorang lelaki wali yang soleh yaitu al-Sayyid al-Ghali bin Ajibah RH. 

Madrasah al-Siddiqiyyah (al-Ghumariyyun)

Sampai satu ketika, Syaikh al-Talidi terfikir di dalam benaknya untuk pergi menuntut di Madrasah al-Siddiqiyyah yang terkenal sebagai pusat hadis dan berbeza pandangan dengan sifat taklid mazhab Maliki yang dianuti oleh orang Maghribi.

Pertama sekali beliau mengaji bersama al-Allamah al-Atsari al-Syaikh Muhammad al-Zamzami (yang nantinya di akhir hayatnya berubah menjadi seorang berfahaman salafi yang menolak tasawwuf) kitab Bulugh al-Maram dan Lubb al-Usul oleh Imam Zakariya al-Anshari.

Lalu beliau menadah dengan al-Allamah al-Usuli Abd al-Hay bin al-Siddiq kitab al-Jawahir al-Maknun, Nukhbat al-Fikr, Miftah al-Wusul, dan Syarah Bulugh al-Maram Subul al-Salam oleh al-Shan'ani. Juga sempat bertemu dengan al-Allahamah al-Muhaddits Abd al-Aziz bin al-Siddiq dan mengaji kitab Alfiyyah al-'Iraqi, Jami' al-Turmizi, Nukhbah al-Fikr, Tafsir Jalalain, sampai beliau meninggal. Lalu beliau juga sempat bertemu di sini dengan al-Syarif al-Muhaddist Muhammad al-Muntashar al-Kattani. 

Pada ketika inilah terbuka luasnya pemikiran ilmiah dan hilangnya sifat jumud taklid yang ta'ashub dalam diri beliau kerana mencintai hadis-hadis Nabi Muhammad SAW. Beliau juga mulai menyukai untuk beramal dengan sunnah dan dalil. Ketika ini jugalah beliau merasa seperti orang yang duduk di dalam bilik yang sempit dan keluar darinya ke ruang yang luas dan selesa. Pada ketika ini jugalah terjadi fitnah kepada beliau sehingga beliau dituduh telah berpaling dari jalan yang hak, sehingga beliau dipulau oleh kawan-kawannya.

Perjalanan Menemui  al-Hafiz Ahmad bin al-Siddiq di Sala

Setelah mendengar khabar bahwa al-Hafiz Ahmad bin al-Siddiq menetap di Sala yaitu sebuah bandar di utara Rabat, beliau pun berangkat ke Sala menggunakan kereta api dari kota Tanjah ke Sala. Beliau sampai di Sala sebelum Maghrib dan bertemu dengan al-Hafiz Ahmad di antara Maghrib dan Isyak. Ketika itu kebahagiaannya tidak terhingga sehingga tidak dapat dibayangkan kerana bertemu dengan seorang Muhaddits al-Dunya ketika itu. Beliau seperti tertakut-takut ketika mencium tangan Alim besar tersebut.

Pada pertemua awal tersebut, beliau mendapatkan hadis al-Rahmah al-Musalsal bi al-Awwaliyyah, lalu pembacaan Sahih Muslim, sesi Q&A, dan beliau berhasil mendapatkan ilmu dari berbagai jenis ilmu, tapi yang utama adalah ilmu hadis dan mempraktikkan cara untuk beramal dengan hadis-hadis itu. Kecintaan beliau terhadap al-Hafiz sangatlah kuat sehinggakan beliau sangat terkesan dengan caranya serta pemikirannya, seperti halnya beliau terkesan juga dengan adik-adik al-Hafiz yang lain. Akan tetapi terkesan kepada al-Hafiz adalah lebih banyak, kerana dapat mensahihkan banyak pemahaman yang terkeliru sebelum ini, dan beliau menemukan sesuatu yang tidak ditemukan sebelum ini. al-Hafiz Ahmad-lah yang mengajarkan beliau untuk menjauhkan diri dari ta'ashub dan taklid buta dengan qaul-qaul fuqaha'.

Syaikh al-Talidi mendapatkan ijazah khusus daripada al-Hafiz Ahmad dari semua bacaan, riwayat hadis dan lain-lain, dengan tulisannya sendiri, begitu juga dengan mentalqinkan tarikat al-Shaziliyyah, menijazahkan tarikat tersebut, serta memberi izin untuk mengembangkannya dan mengajarkannya. Malah al-Hafiz Ahmad pernah berkata kepada beliau: "Sesungguhnya tarikat kita adalah terbina dengan al-Quran dan a-Sunnah dan beramal dengan keduanya".

Kemerdekaan Morocco

Kepulangan Syaikh al-Talidi dari Sala ke Tanjah adalah masih merupakan zaman jajahan Perancis di Morocco, dan Raja Morocco Muhammad V masih dibuangan di Madagascar. Maka ketika ini, beliau menghabiskan waktu dengan membaca kitab al-Muhalla karangan Ibn Hazm al-Zahiri. Tidak sampai setahun dari ini, merdekalah Morocco dari jajahan Perancis, dan pulanglah Raja Muhammad V ke tanah air dan kedaulatan beliau. Maka al-Hafiz Ahmad bin al-Siddiq pun dapat pulang dari buangannya oleh pemerintah Spanyol di Tanjah. Ketibaan beliau di Lapangan Terbang Tanjah diraikan dengan sebuah perayaan oleh murid-murid beliau dan ahli bandar Tanjah. Maka ketika ini, al-Hafiz telah mengangkat Syaikh al-Talidi sebagai khatib Jumaat di rumah beliau.

al-Hafiz adalah orang yang sangat tegas dalam menetapkan hukum. Dengan ini beliau sangat kuat melawan parti-parti politik di tanah air yang mengajak kepada budaya Perancis, kerusakan, kebebasan wanita, dan pergaulan mereka dengan para lelaki. Ini menyebabkan al-Hafiz melawan tokoh-tokoh politik tersebut sampai pada derajat mengkafirkan mereka kerana telah meningkari sesuatu yang ijmak. Dari sini, beliau berniat untuk berhijrah dari negara ini. Ketika itu, Syaikh al-Talidi telah menghantar al-Hafiz ke al-Qashr al-Kabir untuk menaiki kereta api ke Casablanca untuk melanjutkan perjalanan ke Port Said, Mesir. Di al-Qashr al-Kabir inilah Syaikh al-Talidi kali terakhir melihat al-Hafiz Ahmad bin al-Siddiq al-Ghumari RH. Semua ini berlaku pada tahun 1377 H bersamaan dengan 1957 M.

Setelah kejadian ini, Syaikh al-Talidi telah mengasingkan diri di rumah untuk belajar serta menyunsun sebuah kitab yang mengandungi semua perkara yang diajarkan oleh al-Hafiz Ahmad kepadanya. Kitab inilah nanti yang terkenal dengan nama: "Darru al-Ghamam al-Raqiq bi Rasail al-Sayyid Ahmad bin al-Siddiq" juga dengan beberapa risalah lain yang belum diterbitkan.


Permulaan Mengajar dan Mendirikan Rumah Tangga

Ketika ini, datanglah beberapa murid yang meminta beliau untuk mengajarkan ilmu kepada mereka. Maka Syaikh al-Talidi pun mula membacakan kitab-kitab penting seperti Alfiyyah Ibn Malik, Bulugh al-Maram, Tafsir al-Jalalain, di beberapa masjid di Tanjah, seperti masjid Marshan. Ketika ada masalah, maka beliau mengajar di rumah beliau.

Pada ketika ini juga Allah SWT telah mentakdirkan beliau untuk mendirikan rumah tangga. Pada suatu ketika, beliau seang duduk bersama kawannya ditempat beliau biasa berbelanja. Maka tiba-tiba ada seorang anak perempuan yang datang dan meminta untuk membeli sesuatu. Maka beliaupun melihat kepada anak perempuan tersebut. Akan tetapi anak perempuan tersebut tiba-tiba merasa malu dan berbalik dan tidak mengulangi perbicaraan. Maka ketika anak perempuan tersebut pergi, berkatalah Syaikh al-Talidi kepada kawannya: "Anak siapakah perempuan tersebut? Sesunggunya perempuan tersebut sangat berbeza!" (ini disebabkan wanita Morocco pada waktu ini terlalu mengikuti budaya Perancis yang mengajarkan kebebasan serta kurang memiliki sifat malu). Ketika beliau tau siapa perempuan tersebut, maka beliau pun terus berkata: "Kalau Allah mentakdirkan aku untuk berkahwin, maka dialah istriku", maka terjadilah apa yang dikatakan.

Beliaupun berkahwin dengannya ketika umurnya masih belum baligh. Allah memberkati perkahwinan ini sehinggakan sampai detik ini, yang sudah mencapai setengah kurun. Dengan pernikahan ini, beliau mendapatkan zuriat yang juga merupakan ulama sama ada di Morocco maupun di Eropah.

Ketika awal mula beliau dalam membina rumah tangga, beliau tidak memiliki apa-apa, tidak ada rumah, katil, perabot. Berpindah-pindah dari satu bilik sewa ke satu bilik yang lain. Akhirnya beliau dapat tumpang di rumah adik perempuannya selama 5 tahun. Paa waktu ini, beliau terpaksa menjahit jalabah dan mendapatkan 2 dirham bagi setiap jalabah yang dijahitnya sebagai upah untuk menyara hidup.

Pada waktu pernikahan ini juga, beliau telah dinasihati oleh guru beliau al-Hafiz Ahmad bin al-Siddiq RH: "Janganlah engkau sibukkan diri engkau dengan istri sehingga mengalahkan perjalanan ilmu engkau. Ingatlah kata-kata Imam al-Syafi'i RH yang dikisahkan juga dari Basyar al-Hafi RH: Ilmu akan sia-sia diantara paha para wanita". Maka beliaupun mematuhi wasiat gurunya ini.

Kemangkatan al-Hafiz Ahmad bin al-Siddiq

Pada petang 2 Jumadi al-Akhirah 1380 H, datanglah kabar bahwa al-Hafiz Abu al-Faidl Ahmad bin al-Siddiq RH telah dijemput ruhnya kehadapan Allah SWT. Maka pengikut-pengikut al-Hafiz pun pergi ke Masjid Jami' Kabir untuk melakukan solat ghaib dengan diimami oleh adiknya yaitu al-Syaikh Muhammad al-Zamzami.

Para hadirin pun ada yang sedih menangis akan kehilangan al-Hafiz. Lalu diadakan sebuah majlis yang menceritakan hayat al-Hafiz Ahmad. Maka dikumandangkanlah berbagai qasidah dan kalimat memuji beliau yang kuat membela sunnah, dan menentang kafirin, sekularis, dan lain-lain.

Mengasas Ma'ahad Menghafal al-Qur'an dan Pengajian Ilmu

Setelah beliau disempitkan untuk berdakwah di berbagai masjid dan dilarang memberikan pelajaran di masjid-masjid tersebut, seperti juga ulama lain yang dilarang kecuali dengan izin rasmi (tauliah) maka beliau pun mengajarkan ilmu di rumah beliau.

Lalu beliaupun ingin membina sebuah Yayasan yang terdapat madrasah ilmiah untuk menghafal al-Qur'an, dan mengajarkan ilmu agama serta melakukan jama'ah solat 5 waktu dan solat Jumaat dicampur dengan rumah untuk ditinggali, maka beliaupun melontarkan hasrat ini kepada beberapa kawan beliau sehingga beliau berhasil mendapatkan tanah untuk itu. Akhirnya dengan terbina madrasah ini, maka pengajian pun dijalankan dengan penuh semangat dan terus-terusan.

Perjalanan Haji Berkali-kali

Pada bulan Ramadhan tahun 1383 H, datanglah berita ayahnya meninggal dunia di kampung halaman beliau. Umur ayah beliau ketika itu adalah sekitar 80 tahun. Pada tahun itu juga, Allah telah memberi nikmat kepada beliau untuk melakukan Haji ke rumah Allah SWT untuk pertama kalinya.

Awal keberangkatan haji itu ditunjukkan Allah SWT dalam mimpi gembiranya (Tabsyir). Beliau melihat dalam mimpinya seolah-olah beliau di Madinah Munawwarah. Bersamanya sekumpulan jamaah. Maka keluarlah Sayyidatina Aisyah, Ummu al-Mukminin RA untuk menemui beliau. Maka Sayyidah Aisyah pun berkata: "Marhaban!". Maka dari mimpi ini, beliau pun tahu bahwa waktu melakukan haji sudah saatnya.

Alhamdulillah, dengan haji beliau yang pertama, Allah telah membuka jalan untuk beliau sehinggakan beliau dapat melakukan haji atau umrah pada setiap tahun untuk menziarahi rumah Allah SWT dan menziarahi kubur Rasulullah SAW.

Dalam perjalanan haji ini, banyak pengalaman emas yang dirasai oleh beliau. Alhamdulillah, beliau berkesempatan bertemu dengan berbagai ulama agung pada masa itu dan ini, seperti al-Muhaddits Abd al-Fattah Abu Ghudah, al-Muhaddits Muhammad Zahid al-Kautsari, al-Muhaddits Ahmad Syakir, al-Muhaddits al-Musnid Muhammad Yasin al-Fadani, al-Syaikh Muhammad Bakhit al-Muthi'i, al-Syaikh Abd al-Halim Mahmud, al-Syahid Hasan al-Banaa, al-Allamah Abu Hasan al-Nadwi dan lain-lain.

Bahkan beliau juga sempat bertemu dengan tokoh-tokoh yang berbeza pendapat dengan beliau yang mana beliau tetap mensifati mereka dengan adab keilmuan mereka seperti al-Allamah al-Sayyid Sabiq, al-Muhaddits Nashir al-Din al-Albani, dan al-Muhaddits Abd al-Qadir al-Arnauth. Ini menunjukkan bahwa beliau memiliki akhlak yang mulia serta menghormati orang yang alim walaupun berbeza pendapat.

Pertemuan dengan al-Muhaddits Nashir al-Din al-Albani

Malah, salah satu cerita yang menarik yang perlu untuk diceritakan di sini yaitu pertemuan beliau dengan al-Muhaddits Nashir al-Din al-Albani pada haji yang keenam. Pada ketika itu, beliau sedang berjalan-jalan bersama kawan-kawan, lalu mereka bertemu dengan salah seorang murid al-Albani yang bernama Mahmud Mahdi al-Istanbuli. Maka Mahmud tersebut pun mengajak mereka untuk datang pada malam hari di rumahnya sebagai tamu. Maka ketika waktu yang ditetapkan sudah sampai, maka mereka pun masuk ke dalam rumah yang dimaksud. Ketika mereka duduk, maka masuklah Syaikh Nashir al-Din al-Albani dan bersalaman dengan semua tetamu termasuk beliau. Maka al-Albani pula bertanya kepada beliau keadaan akidah para tamu yang hadir. Maka beliau pun menjawab bahwa mereka ini adalah orang awam.

Lalu Syaikh al-Albani pun memulakan pembicaraan tentang haramnya bertawassul pada zat seperti yang dijelaskan Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah di dalam kitab "Qaidah al-Tawassul wa al-Wasilah". Maka Syaikh al-Talidi pula menjawab bahwa tawassul dengan zat yang utama adalah disyariatkan mengikut hadis al-Dlarir yang sahih lagi masyhur dan lain-lainnya. Dengan hadis itu, banyak ulama menghalalkannya, lalu al-Albani pula melarang dan perdebatan pun menjadi panjang.

Lalu masuklah pula pembahasan dengarnya para mayat akan ucapan orang yang masih hidup. Maka al-Albani meningkarinya secara mutlak sehinggakan dari Nabi Muhammad SAW pun tidak mendengarnya. Lalu Syaikh al-Talidi pula menjawab dengan menggunakan hadis Anas RA yang dikeluarkan oleh Bukhari dan Muslim: "Sesungguhnya hamba ketika diletakkan di dalam kuburnya dan pengantarnya sama berpergian maka dia mendengar pergerakan selipar mereka". Akan tetapi, al-Albani menolaknya dan mentakwilnya. Begitu juga dengan hadis Umar RA yang menceritakan ucapan Nabi Muhammad SAW bersama kuffar Quraisy yang mati di al-Qalib, maka al-Albani mentakwilnya juga. Terakhir beliau mengeluarkan hadis menampakkan amal kepada Rasulullah SAW: "Hidupku lebih baik bagimu, kamu melakukan sesuatu dan kamu diberi keterangan hadis. Matiku juga lebih baik untukmu, amal perbuatanmu di tampakkan kepadaku. Apa yang aku lihat baik, aku memuji kepada Allah dan apa yang ku lihat buruk, aku mina ampun kepada Allah untukmu" (riwayat al-Bazzar dan perawinya adalah Sahih seperti yang disebutkan di dalam Majma' al-Zawaid, 9:24). Maka al-Albani pun mendaifkannya lagi, lalu Syaikh al-Talidi berkata padanya bahwa hadis ini sahih dan telah disahihkan oleh banyak para Huffaz. Akan tepai, al-Albani tetap berkeras bahwa ia adalah daif. Maka ketika beliau melihat bahwa al-Albani tidak insaf, maka beliau pun berpaling darinya dan diam serta tidak diulang lagi pertentangan.

Maka ketika selesai majlis, merekapun beransur. Lalu sekarang Syaikh al-Talidi melihat bahwa ternyata al-Albani telah mensahihkan hadis menampakkan amal kepada Rasulullah SAW tersebut di dalam al-Silsilah al-Shahihah (walaubagaimanapun, penulis tidak berhasil menemukan pernyataan al-Albani yang mensahihkan hadis ini, Wa Allahu a'lam!).

Pertemuan dan Kepulangan al-Muhaddits Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari

Pada haji yang keenam ini juga, beliau sempat bertemu denagn al-Muhaddits al-Usuli al-Faqih Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari (adik kepada al-Hafiz Ahmad bin al-Siddiq) di Mesir, setelah 11 tahun dizalimi dan difitnah oleh President Jamal Abd al-Nashir. Maka al-Muhaddits Abdullah juga telah pulang ke tanah air setelah meninggalkan tanah halaman selama 40 tahun yang dihabiskan umurnya di kota Cairo. Kepulangannya adalah sebuah hari yang bersejarah!

Haflah Bersama al-Muhaddits Muhammad Yasin al-Fadani

Pada haji yang ke 15, beliau telah berangkat haji bersama rombongan besar yang juga diikuti oleh adik beradik Abdullah dan Abd al-Aziz bin al-Siddiq. Pada haji kali inilah al-Allamah al-Muhaddits al-Sayyid Muhammad Yasin al-Fadani RH mengadakan haflah yang penting!
Syaikh Abdullah al-Talidi bersama Syaikh Nuruddin Marbu al-Banjari

Pada waktu ini, terkumpulah banyak ulama di kalangan ahli ilmu dan terhormat di Madrasah Dar al-Ulum al-Diniyyah di Mekkah al-Mukarramah. al-Muhaddits Abd al-Fatah Abu Ghudah telah diberi penghormatan untuk memberikan sebuah pengajian dengan hadis: "Barangsiapa yang berkata Aku meridhai Allah sebagai Tuhan, dan Islam sebagai agama, dan Muhammad sebagai Nabi, maka wajiblah baginya syurga".

Adanya malam tersebut merupakan malam yang bersejarah penuh barakah, yang tidak akan dapat dilupakan sama sekali. Benar-benar telah hilanglah wajah-wajah mereka yang alim dijemput Allah SWT dalam keadaan yang mukmin. Semoga kami dikumpulkan bersama mereka dari kalangan para nabi, wali-wali, pada syuhada', dan orang-orang yang soleh.

Akidah dan Fiqh Syaikh al-Talidi

Pada awalnya, beliau berakidah dengan mazhab al-Asya'irah yang mutaakhir yang mencampur akidah al-Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari yang hak dengan beberapa akidah muktazilah. Akan tetapi hatinya seperti ada kecondongan kepada mazhab al-Salaf disebabkan bacaan yang dibacanya pada waktu menjadi penuntut ilmu seperti kitab al-Risalah Ibn Abi Zaid al-Qayrawani berkali-kali dan akidah tersebut dalam risalahnya merupakan akidah Salaf yang murni.

Ketika bertemu dengan guru beliau al-Hafiz Ahmad bin al-Siddiq al-Ghumari RH, beliau memberinya kitab al-Tauhid oleh Ibn Khuzaimah, al-I'tiqad oleh al-Baihaqi agar dibaca olehnya. Beliau juga sempat membaca bersama kitab al-'Uluwwu li al-Aliyyi al-Ghaffar dan Ijtima' al-Juyush  al-Islamiyyah, dan al-Ibanah oleh al-Asy'ari, al-Thahawiyyah, Lum'at al-I'tiqad yang akhirnya menghasilkan kepada akidah mazhab al-Salaf. Maka jadilah beliau yang beri'tiqad dengan akidah Salaf yang murni. Dan bertambah kukuhlah lagi keyakinan tersebut dari membaca kitab-kitab tafsir, syarah hadis, yang memperbahaskan mazhab salaf dan khalaf.

Maka beliau menasihati para penuntut ilmu untuk membaca akidah Ibn Abi Zaid al-Qayrawani, al-Thahawiyyah, al-I'tiqad, dan al-Ibanah.

Dari segi fiqh pula, beliau pada awalnya bermazhab Maliki kerana beliau mempelajarinya dari kitab-kitab Maliki sama ada yang kecil sampai yang besar. Setelah beliau bertemu dengan Ahli Hadis dan mengkaji secara mendalam kitab-kitab Ayat Ahkam dan Hadis Ahkam dibawah bimbingan mereka, seperti kitab al-Muhalla oleh Ibn Hazm, al-Majmu' oleh Imam Nawawi, Subul al-Salam, Nail al-Authar, dan lain-lain, sehingga menyebabkan beliau mengambil suatu hukum langsung dari sumber dalil yaitu al-Qur'an dan al-Sunnah yang Sahih, menjadikan beliau tidak terikat dengan mana-mana mazhab fiqh. Kecuali ketika terjadi pertentangan dalil dan pelbagai pendapat ulama, maka beliau akan memilih yang paling selamat seperti yang disebut oleh para ulama.

Ini adalah senada dengan tuntutan mazhab Salaf bahwa adalah wajib bagi semua orang alim dalam ilmu dan kaedah yang diperlukan agar mengambil hukum langsung dari sumbernya. Akan tetapi, beliau juga bersetuju bahwa tidak terlarang bagi orang awam dan ahli ilmu yang masih kurang untuk melakukan taklid terhadap mana-mana mazhab yang masyhur selagi tidak bertentangan dengan Sunnah yang jelas! Beliau juga menetapkan bahwa bertaklid kepada mana-mana mazhab empat atau lainnya adalah perkara ijtihad yang tiak ada nas menafikan atau menetapkan perkara tersebut.

Lalu beliau tetap berkepercayaan bahwa sesungguhnya semua para ulama yang berijtihad itu berada pada landasan hidayah Allah SWT keseluruhannya. Mereka boleh benar dan salah dalam ijtihad mereka. Seumpama salah mereka diampun seperti yang terkenal di kalangan ahli ilmu, dan tidak boleh menyesatkan mereka, juga mengutuk salah satupun dari mereka.

Beliau juga berkepercayaan bahwa semua golongan yang berusaha mencari kebenaran tetap di kalangan Ahli Sunnah seperti golongan al-Hanabilah, al-Asya'irah, al-Maturidiyyah, semuanya dalam landasan hidayah Allah SWT walaupun kemungkinan mereka tersalah dalam pencarian mereka. Kita tidak boleh membid'ahkan mereka, mengkafirkan mereka kerana mereka semua memiliki sandaran kemungkinan dan tujuan mereka tidak lain adalah satu yaitu mentauhidkan Allah SWT, dan bukanlah berniat untuk mengingkari sifat-sifat Allah SWT.

Akan tetapi, beliau tetap setuju bahwa golongan yang telah keluar dari landasan di atas, seperti Syi'ah Rafidah, Khawarij, Muktazilah, Musyabbihah, Mujassimah, Murji'ah, dan sebahagian Sufiyyah, mereka semua adalah sesat. Ada dari mereka yang kafir seperti sebahagian pelampau Syi'ah Rafidah dan Khawarij.

Pendapat beliau tentang aliran sufi pula adalah bahwa ia merupakan sebuah aliran yang sangat besar yang bercampur sama ada Sunni, Syi'ah, Salafi, atau lainnya. Maka selagi seseorang itu meletakkan asas-asas tasawwuf yang sebenar seperti taubat, zuhud, wara', mahabbah, ridha, dan lain-lain, dan menjauhi sifat riya', namimah, hasad, maksiat dan lain-lain; maka mereka adalah sufi sebenar, seorang Sunni, Salafi, Sholeh, dan Wali. Terserahlah nak menamakan apa pun itu! Maka barangsiapa yang bertentangan dengan ini, maka ia adalah Mulhid, Zindiq, ahli Bid'ah, walaupun dia mendakwa dirinya seorang Sufi atau Salafi, atau Sunni maka sesungguhnya dia adalah Dajjal!

Akan tetapi, menurut penulis, bahwa kita perlu ingat, amalan-amalan para Sufi yang memiliki sandaran hukum sama ada khusus maupun umum seperti zikir dan hizib-hizib ulama, perayaan maulid yang bebas dari maksiat seperti percampuran antara lelaki dan perempuan, maupun tariakt-tarikat sufi, serta tawassul dan ziarah kubur orang soleh dan beristighasah dengan mereka; semua ini adalah termasuk dalam jenis Sufi yang mendapat hidayah Allah seperti yang dimaksudkan oleh Syaikh al-Talidi. Ini disebabkan penulis sendiri sudah mengalaminya ketika menuntut dengan Syaikh Abdullah al-Talidi. Penulis juga sudah membaca pendapat-pendapat Syaikh Abdullah al-Talidi di dalam kitab-kitabnya seperti Bidayah al-Wushul bi Lubb Sahih al-Ummahat wa al-Usul.



Karya-Karya Abdullah al-Talidi

Sepertimana Madrsah al-Siddiqiyyah mengajarkan murid-murid mereka bahwa ulama haruslah mengkritik perkara yang wajib dikritik. Dan kritikan ini haruslah direkodkan di dalam bentuk tulisan agar menjadi warisan kepada generasi yang datang kelak. Sebagaimana tradisi yang telah dilakukan oleh adik beradik al-Ghumariyyin, yang telah mengarang berpuluh kitab dalam membahas berbagai jenis isu, Syaikh Abdullah al-Talidi juga telah mengarang lebih dari 50 kitab pada saat ini. Salah satu yang teragung adalah karyanya Bidayah al-Wushul bi Lubb Sahih al-Ummahat wa al-Usul yang berjumlah 12 jilid. Juga kitab al-Mutrib yang menceritakan wali-wali agung di Maghribi, Jawahir al-Bihar kumpulan hadis yang sahih menurut beliau disertai dengan syarah beliau, dan lain-lain lagi.
Salah satu dari karya agung Syaikh Abdullah al-Talidi, Bidayatu al-Wushul, 12 Jilid

Penutup

Berikutlah ringaksan yang penulis dapat ambil setelah membaca Biografi Syaikh Abdullah al-Talidi yang berjudul Zikriyat min Hayati dengan pena Syaikh Abdullah bin Abd al-Qadir al-Talidi sendiri, cetakan Dar al-Qalam Damascus pada tahun 2004 M / 1425 H. Semoga tulisan ini bermanfaat kepada diri penulis dan para pembaca, Amin Ya Rabb al-Alamin.



No comments: