Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri
Produk usahawan Malaysia dapat pujian
RABAT 18 Dis. - Rata-rata penduduk Maghribi yang berkunjung ke Minggu
Karnival 1Malaysia Best di pasar raya Aswak Assalam di sini memuji
produk keluaran Malaysia yang dipamerkan di situ serta mahukan karnival
itu dijadikan program tahunan.
Mereka berpendapat, produk usahawan bumiputera itu berpotensi untuk
meneroka pasaran negara ini dan program promosi wajar diteruskan pada
masa akan datang.
Karnival yang bermula pada 15 Disember lalu dan akan berakhir pada
Selasa ini mendapat sambutan menggalakkan, malah ada pengusaha tempatan
menyatakan kesediaan mereka untuk mengimport produk tersebut.
Pelbagai produk usahawan Malaysia berasaskan makanan seperti rempah
mi rebus, teh herba, murtabak, madu, biskut, minyak kayu gaharu, sos
cili dan rempeyek serta kraf tangan termasuk batik dijual di situ.
Seorang pengunjung, Abdellatif Tabet, 62, berkata, produk Malaysia berada pada tahap terbaik dan dapat diterima oleh penduduk tempatan.
"Sudah banyak negara saya lawati, saya juga pernah melawat Malaysia dan ia mempunyai produk yang sangat bagus.
"Ini usaha terbaik dan usahawan Malaysia wajar menjalinkan hubungan
dengan pengusaha Maghribi untuk meneroka pasaran tempatan," katanya.
Saubai Maria, 22, pula, mahukan program seumpama ini diteruskan saban
tahun kerana tidak ramai penduduk Maghribi mengetahui produk Malaysia
kerana ia tidak berada di pasaran negara ini.
Pelajar universiti ini percaya, produk Malaysia yang dikaitkan dari
sebuah negara Islam mampu mendapat sambutan dalam kalangan penduduk
Maghribi yang hampir 100 peratus beragama Islam.
"Walaupun pertama kali melihat produk Malaysia, saya terus
berkeinginan membelinya dan menjadi satu petanda baik untuk produk
Malaysia berada di negara ini," ujarnya.
Aicha Najjar, 23, pula mahukan karnival itu tidak hanya tertumpu di
Rabat malah lebih menyeluruh supaya ia dikenali oleh semua penduduk
Maghribi.
"Ia perlu dihebahkan secara meluas dan saya hanya tahu program ini
melalui rakan-rakan saya dari Malaysia yang menuntut di universiti yang
sama," katanya pelajar Universiti Mohamed V di Swissi itu.
Pendapat yang sama disokong oleh rakannya, Fatima Benbba, 21, yang mahukan lebih banyak produk dipamerkan pada karnival akan datang supaya dikenali oleh penduduk tempatan.
Malah, katanya, sepatutnya program seumpama itu dianjurkan secara
lebih agresif lagi iaitu dua kali setahun di peringkat permulaan
pengenalan ini kerana berpotensi berada di pasaran rantau Afrika. -
UTUSAN
No comments:
Post a Comment