Santriwati Putri Pondok Salaf juga giat mengikuti program Bahtsul Masail untuk menyelesaikan isu-isu kewanitaan di bawah Forum Musyawarah Pondok Pesantren Putri Se Jawa Timur (FMPP Putri Jatim). |
Setiap tahun mesti ada orang akan menghubungi penulis untuk menanyakan tentang kesempatan atau peluang untuk menuntut ilmu di pondok-pondok di Jawa, memandangkan sekarang dunia pondok di Tanah Melayu Malaysia mula suram, dan musibah keamanan yang melanda di Selatan Thailand menyebabkan ketakutan oleh banyak calon-calon murid yang hendak menuntut ilmu sistem pondok di Daerah bergejolak tersebut mula berkurang. Maka penulis pada kesempatan kali ini ingin sedikit berkongsi maklumat tentang menuntut ilmu sistem pondok traditional di sebuah bandar yang telah banyak mendidik penulis menjadi "orang"; bandar tersebut adalah "Kediri".
Sebelum penulis masuk pada pembahasan tentang pondok di Kediri, perlu di sini penulis mengambil kesempatan untuk menjelaskan kepada pembaca dunia pondok di Indonesia. Ketika kita berbicara tentang pondok, janganlah kita anggap bahawa kalimat "pondok" sama seperti mafhumnya dengan pondok di Malaysia. Di Malaysia, "pondok" selalunya memiliki arti sebuah institusi pendidikan yang tertua di Nusantara, iaitu memiliki asas: "Turats" sebagai sistem dan bahan rujukan atau silibus, "Asy'ari" dalam akidah, "Syafi'i" dalam bermazhab fiqh, "al-Ghazali dan al-Junaydi" dalam bertasawwuf.
KH Hasyim Asy'ari, pendiri NU |
Akan tetapi, di Indonesia, khususnya Jawa, "pondok" memiliki arti sebuah institusi pendidikan Islam, secara umum, tanpa ada qayyid 4 element di atas. Dalam arti, pondok boleh juga tidak "turats" iaitu tidak menyusus silibus mereka dengan memakai kitab-kitab turats peninggalan ulama dahulu sama ada Arab atau Nusantara; tidak menjadikan akidah "Asy'ari" sebagai akidah pegangan mereka; tidak menetapkan mazhab "Syafi'i" sebagai asas amalan mereka; dan bahkan ada yang menentang bertasawwuf atau tarikat.
Misalnya, Pondok Pesantren Modern Gontor yang memiliki alumni banyak dari Malaysia (kerana setiap tahunnya berbondong-bondong siswa Malaysia datang ke situ) bukanlah mafhum "pondok" seperti yang diharapkan di Malaysia, kerana mereka tidak menjadikan kitab-kitab turats sebagai silibus utama. Bahkan kitab "Alfiyyah ibn Malik" saja tidak diwajibkan hafal atau dipelajari oleh santri (siswa) di pondok tersebut, sebaliknya mereka memakai Nahwu Wadhi. Gontor juga tidak menjadikan "Asy'ari" sebagai akidah kerana mereka menerima semua golongan, sama ada Asy'ari, Salafi (Wahabi), Syiah, dan Liberal. Bahkan kitab Akidah 3 tahun terakhir adalah kitab "al-Tauhid" karangan Shalih Fauzan al-Fauzan seorang ulama Salafi/Wahabi terkenal dari Saudi Arabia yang isinya menyesatkan tawassul, mengucapkan "sayyidina" bahkan Asy'ari bukan dari ahli sunnah wal jamaah; walaupun banyak juga kader-kader Nahdlatul Ulama lulusan Gontor seperti KH Hasyim Muzadi. Gontor juga tidak menjadikan asas mazhab "As-Syafi'i" sebagai mazhab fiqh, kerena mereka tidak terikat pada mazhab. Mereka lebih memilih hak setiap siswa menentukan mazhab mereka, oleh itu kitab fiqh mereka adalah "bidayah mujtahid" karangan Ibn Rusyd. Untuk permasalahan tasawwuf penulis sendiri tidak pernah tahu isi tasawwuf dan tarikat mereka, walaupun ada beberapa ulama tarikat keluaran Gontor.
Apapun itu, semua ada plus dan negativenya, Gontor berjaya mencetak banyak alumni terkenal di dunia akademik modern bukan traditional. Alumni mereka ada di merata dunia, sama ada liberal, wahabi, bahkan Asy'ari juga. Walaupun itu, harap rakyat Malaysia tidak mencampur adukkan antara mafhum "Pondok" di Malaysia dengan Indonesia, kerana ia sangat jauh berbeza!!!!
KH Zamrodji, Kyai penulis. w. 1999 M |
Maka dari mafhum ini, ketika siapa pun dari Malaysia ingin melanjutkan pendidikan mereka di "pondok" dengan mafhum Malaysia di Indonesia, maka pilihan tepat adalah pondok-pondok yang selalu diistilahkan dengan "Salaf". Jangan salah faham, "Salaf" di sini bukan berarti "Salafi/Wahabi" sebuah mazhab radikal yang lahir dari Najd di Hijaz, yang sekarang memerintah Saudi Arabia. "Salaf" ini memiliki arti terdahulu atau tradisional; iaitu pondok yang menerapkan sistem tradisional, tanpa ada campuran pendidikan-pendidikan modern seperti Bahasa Inggeris, Matematika, Geografi, Sains dan lain-lain. Akan tetapi mereka mengkhususkan hanya penidikan agama Islam 100% dengan sistem tradisional yang telah diterapkan oleh kader-kader ulama turats seperti KH Hasyim Asy'ari pendiri NU, KH Mahfuz al-Tarmasi seorang ulama hadis Termas Jawa Timur di Mekkah, Syaikh Nawawi al-Banteni ulama mutafannin dari Banten, dan lain-lain.
Pondok Salaf (bukan salafi, kerana istilah salafi selalu diartikan sebagai salafi/wahabi) memulakan pendidikan mereka dengan ilmu alat secara turats, seperti al-Ajurumiyyah, al-Imrithi, Alfiyyah Ibn Malik, selain akidah Asy'ari mula dari akidah Awam sampailah Ummu al-Barahin Imam Sanusi, atau bahkan kitab muta'akhir dalam akidah seperti al-Husun al-Hamidiyyah yang dikarang ulama dari Syam pada zaman akhir Daulah Uthmaniyyah, dan memacakkan fiqh mazhab Syafi'i sebagai asas mazhab beramal seperti Fath al-Qarib, Fath al-Mu'in, Fath al-Wahhab, dan lain-lain. Pondok-pondok ini juga ada yang manjadi singa membela Tasawwuf bahkan Tarikat, selain mengkhatamkan kitab al-Ihya oleh Imam al-Ghazali. Ini sesuatu yang jarang berlaku di kalangan pondok-pondok modern di tanah Jawa.
Maka pada kali ini, penulis akan menceritakan kenapa bandar Kediri menjadi pilihan bagi mana-mana santri dari Malaysia yang ingin menuntut di pondok salaf di Jawa.
1- Pondok-Pondok Salaf
Pertama sekali, penulis ingin mensenaraikan pondok-pondok salaf di Kediri, ini disebabkan Kediri sekarang bukan hanya terkenal dengan kilang rokok Indonesia iaitu Gudang Garam, akan tetapi Kediri pada abad ini telah menjadi pusat pertumbuhan pondok pesantren salaf diseluruh pelosok bandar ini. Bahkan penulis mengira dapat disenaraikan Kediri memiliki paling tidak 100 pondok pesantren dari yang terbesar sampai paling kecil.
a. Pondok Pesantren Raudlatul Ulum, Kencong, Pare, Kediri
Kantor (Office) Pondok Pesantren Raudlatul Ulum |
Alasan penulis meletak pondok ini sebagai yang pertama kerana menghormati pondok ini yang merupakan pondok tempat penulis menuntut ilmu dari al-Ajurumiyyah sampailah lulus Uqud al-Juman, dan berkhidmat sebagai ustaz selama 6 tahun di pondok yang mulia ini. Penulis masih sempat menentut dengan KH Zamrodji al-Mursyid.
Pondok ini pada waktu ini sedang mengalami masa suram dengan berkurangnya santri, akan tetapi ia tetap menjadi pusat Tarikat Qadiriyyah wan Naqshabandiyyah (TQN) di Kediri, yang memiliki pengikut hampir 100 ribu dari seluruh Jawa Timur dan sebahagian dari Jawa Tengah. Maka kalau yang berhasrat adalah berumur banyak, maka sebaiknya masuk pondok ini untuk orang-orang tua, dengan mengikuti kegiatan tarikat.
Acara Manaqib al-Kubra, Jam'iyyah Thariqah al-Qadiriyyah wa al-Naqshabandiyyah (TQN) Kencong. Pengikut Tarikat ini mencapai jumlah 100 ribu pengikut dari seluruh Jawa Timur dan sebahagian Jawa Tengah |
b. Pondok Pesantren Lirboyo, Kota Kediri
Segenap Jajaran Pengasuh @ Mudir Pondok Pesantren Lirboyo |
Pondok ini berada pada list kedua penulis, kerana sekarang menurut penilaian penulis berada paling kehadapan dalam pengembangan pesantren salaf. Santri di pondok ini sahaja sudah mencapai 10ribu kalau dikumpulkan dari semua jenis takhasus, kerana di pondok ini ada sub bahagian hafazan al-Quran iaitu Murattal al-Quran yang dipimpin oleh KH Maftuh, Institute Perguruan Tinggi Tribakti oleh KH. Reza Imam Mahrus dan lain-lain.
Bangunan Lama yang merupakan Kantor Bakti Lirboyo |
Mereka juga berada kehadapan dengan mencetak paling tidak 300-400 santri yang lulus tingkatan Aliyyah dengan khataman kitab Uqud al-Juman, yang menurut penulis minimal 40% darinya mampu membaca kitab-kitab turats kosong tanpa harakat dan titik kome. Mereka juga menjadi calon pembenteng ahli sunnah wal jamaah di Nusantara kelak.
Selain itu, pondok ini juga sedang berada di atas angin bagi program bahtsul masail, hafazan al-Quran, Qira'at 7, dakwah safari, dan lain-lain.
c. Pondok Pesantren al-Falah, Ploso, Mojo, Kediri
Salah satu dari bangunan di Lirboyo |
Pondok ini berada nombor tiga list penulis kerana ia adalah pondok kedua setelah Lirboyo yang terkedepan dalam mencetak kader ahli sunnah. Mereka juga adalah singa-singa dalam NU terutama program bahtsul masail.
Selain itu, kalau Lirboyo memerlukan 9 tahun untuk lulus sejak dari al-Ajurumiyyah, maka pondok Ploso hanya memerluan waktu 4 tahun: al-Ajurumiyyah, al-Imrithi, al-Alfiyyah, Jauhar al-Maknun. Maka waktu singkat ini sangat berguna bagi santri-santri yang ini waktu yang cepat untuk menamatkan pendidikan pondoknya. Akan tetapi, perlu diketahui, waktu yang cepat wajib disertai usaha yang lebih, kerana hafalan semua matan adalah wajib di pondok-pondok salaf!!!
d. Pondok Pesantren Fathul Ulum, Kwagean, Kediri
Pondok ini adalah keluaran pondok Raudlatul Ulum, kerana pengasasnya dan mudirnya sekarang adalah KH Hannan Maksum, yang merupakan murid ternama KH Zamrodji. Beliau membangun pondok ini pada akhir 80an dan awal 90an. Akan tetapi pondok ini sekarang sudah memiliki santri paling tidak 2000-3000 santri lelaki dan perempuan.
Keistimewaan pondok ini adalah didikan istiqamah oleh KH Hannan, dan akhlak yang sangat tinggi oleh beliau. Beliau adalah seorang ulama yang sangat zuhud, sederhana, alim, warak, setia berpegang pada syariat yang kuat, serta sayang kepada ilmu dan santrinya. Pondok ini juga terkenal mengadakan pengajian-pengajian kilat seperti mengkhatamkan al-Bukhari selama 40 hari, Ihya' ulum al-Din setiap 2 tahun, mengkhatamkan lebih dari 40 kitab kecil selama 40 hari pada bulan Sya'ban dan Ramadhan, dan lain-lain.
e. Pondok Pesantren Mahir al-Riyadl, Ringinagung, Kediri
Ini adalah pondok tua di daerah Kepung, Pare. Pondok ini pernah diasuh oleh ulama besar Indonesia iaitu KH Maisur Sindi, seorang ulama Purworejo yang tidak pernah pergi menuntut di tanah Arab, akan tetapi mampu mengarang berbagai kitab berbahasa Arab dengan berbentuk nazam serta disyarah dalam bahasa Arab. Pondok ini juga sedang berada dihadapan dalam bahtsul masail khususnya daerah Pare.
f. Pondok Pesantren Hidayatu al-Thulab, Petuk, Kediri
Pondok ini diasuh oleh Kyai muda yang sedang terkenal kerana karyanya sudah mencapai lebih dari 100 karya dalam bahasa Arab. Beliau adalah KH Yasin Ashmuni, alumni Lirboyo yang lahir pada 1963 M.
KH Mahrus Ali, Pengasuh ketiga Lirboyo. |
Pondok ini terkenal dengan mengeluarkan karya-karya kitab kuning yang sudah berdhabit @ bermakna sehinggakan memudahkan para santri untuk membaca kitab dengan sahih. Selain dari itu, pondok ini juga sedang berada dihadapan untuk mencetak kader-kader fiqh seperti layaknya pondok Lirboyo.
KH Yasin Ashmuni, selain seorang ulama Jawa murni yang belum pernah menuntut di tanah Arab, terkenal di tanah air sebagai ulama yang tegas dalam fiqh, beliau menjadi pakar rujuk Majlis Ulama Indonesia dalam banyak isu, selain sebagai Perumus Lajnah Bahtsul Masail Pengurus Besar Nahdlatul Ulama (LBM-PBNU) di Jakarta.
2- Pemantapan Ilmu Alat
Satu perkara penting di pondok Kediri, adalah ilmu alat sebelum semua ilmu yang lain. Maka ini akan membuatkan santri-santri mencintai ilmu alat terutamanya nahwu sorof, balaghah, dan Arudl.
Kitab Nahwu terendah di pondok Kediri adalah Awamil al-Jurjani, lalu al-Ajurumiyyah, dan akhir adalah Alfiyyah Ibn Malik. Tidak sedikit dari mereka yang hafal Alfiyyah dari awal ke akhir. Juga ilmu balaghah seperti Jauhar al-Maknun, Uqud al-Jumam menjadi pelajaran wajib pesantren-pesantren Kediri. Bahkan ada santri yang menjadi penyair Arab kerana menguasai ilmu Arudl dan Qawafi. Misalnya, penulis pernah memiliki ustaz yang sering mengarang nazam-nazam indah sesuai dengan bahar-bahar yang ditetapkan oleh Imam Khalil al-Farahidi.
3- Kemudahan Kota Kediri
Salah satu sebab mengapa Kediri menjadi pilihan, adalah kerana segala kemudahan ada di kota ini. Seperti contoh, yang paling penting bagi santri dari Malaysia, adalah urusan visa pelajar atau dikenal dengan istilah KITAS (Kartu Izin Tinggal Sementara). Maka pejabat yang mengurus urusan visa iaitu imigrasi berada di kota ini, sehinggakan para santri tidak perlu melakukan perjalanan jauh-jauh ke Surabaya, atau Blitar untuk mengurus visa, kecuali surat-surat penting seperti izin tinggal yang memang wajib memohon di Kementrian Agama bahagian Kepesantrenan di Jakarta, dan surat izin konversi visa sosial kepada visa tinggal di Surabaya.
Selain itu, segala bentuk kemudahan seperti mall, hotel untuk keluarga yang datang menziarahi, restoran-restoran ada di kota Kediri, sehinggakan santri tak perlu melakukan perjalanan ke kota-kota yang jauh untuk menemukan keperluan mereka.
4- Budaya Bahtsul Masail di Komunitas Pondok Kediri
Salah satu ciri pendidikan yang maju di Kediri, adalah bahtsul masail. Program ini yang terkenal dengan singkatan BM banyak kali penulis sebutkan adalah sebuah program dimana santri dan ustaz dilatih untuk mencari sumber-sumber hukum dari kitab-kitab turats, lalu mengeluarkan hukum yang diperlukan dengan cara ilhaq dan qiyas atau nukilan dari kitab-kitab tersebut. Ini akan menyebabkan keyakinan pada kesimpulan hukum kerana sudah ada precedent dari ulama terdahulu dalam menetapkan hukum bagi persoalan yang terjadi di dunia kontemporer sekarang.
Suasana Bahtsul Masail tingkatan eks Kawedanan Pare di Pondok Pesantren Fathul Ulum, Kwagean, Kediri |
Misalnya, isu kontrasepsi semisal memakai kondom, ulama NU telah menetapkan kehalalannya @ boleh, berdasarkan ucapan Imam al-Ghazali di dalam kitab Ihya' Ulum al-Din. Ini menjadi ciri tersendiri dan keistimewaan bagi santri yang bergiat dalam aktivitas BM kerana mereka mampu mencari sumber langsung dari kitab Turats, berbeza dengan santri dari pondok modern yang ketika membaca kitab-kitab turats kadang-kadang masih terbaku-baku.
Bahkan, singa ahli sunnah wal jamaah Indonesia yang terkenal dengan nama KH Idrus Ramli adalah lulusan pondok salaf dari sub aktivitas bahtsul masail. Beliau adalah alumni Sidogiri yang terkenal sebagai pondok tua yang sudah berumur lebih 3 abad lamanya.
5- Tidak Jauh dari Airport Surabaya
Salah satu keistimewaan tersendiri bagi Kediri, adalah lokasinya yang tidak begitu jauh dari kota Surabaya yang merupakan bandar terbesar kedua di Indonesia setelah Jakarta, dan bandar terbesar di Jawa Timur. Jarak Kediri dari Surabaya hanyalah 3-4 jam kalau tidak ada traffic jam (Macet bahasa Indonesia).
Dengan ini, para santri dengan mudahnya dapat melakukan perjalanan dari Airport ke Kediri dengan tanpa memakan waktu berjam-jam lamanya. Apatah lagi jalan tol (highway) segera dibangun untuk mempercepat perjalanan arus transportasi darat.
6- Peluang Melanjutkan Degree (S1)
Sesuai dengan ketetapan dari Presiden Indonesia pada awal tahun 2000an, di mana santri-santri yang lulus tingkatan Aliyyah di pondok mereka dengan beberapa materi kitab yang dianggap setaraf dengan S1 di Perguruan Tinggi Negeri (IPTA) boleh melanjutkan pengajiannya di peringkat Sarjana Muda (S1) di IPTA Indonesia yang menjalankan program pengiktarafan pesantren.
Suasana kampus STAIN Kediri |
Salah satu yang termasuk bagus adalah Sekolah Tinggi Agama Islam Negeri Kediri (STAIN Kediri) adalah salah satu perguruan tinggi yang paling maju di daerah Kediri. Maka santri Malaysia yang menuntut di pondok di Kediri, setelah lulus, memiliki kesempatan untuk melanjutkan di university tersebut. Walaupun university tersebut belum diiktiraf di Malaysia, penulis yakin, kalau sudah banyak yang menuntut di situ, maka pihak JPA akan segera berusaha untuk mengiktiraf perguruan tinggi tersebut. Selain itu, santri lulusan pesantren juga boleh melanjutkan di IAIN Sunan Ampel Surabaya yang jelas-jelas diiktiraf di JPA Malaysia.
Penutup
Mungkin sekian sahaja perbahasan kali ini, penulis berharap, calon santri di pesantren Jawa memilih pesantren yang benar-benar bermanfaat bagi pembangunan institusi pondok kita di tanah air. Semoga langkah ini akan menjadikan langkah awal untuk menarik minat anak muda-mudi Malaysia menuntut di pondok, dan akhirnya pulang menghidupkan pondok dan mengembangkan pondok di tanah melayu. Semoga pendidikan tertua di Nusantara ini bersemi kembali di Tanah Melayu. Amin!