Lagi, salah seorang ulama kontemporer yang ditohmah sebagai Salafi, membela isu khilaf dan melarang untuk terlalu syadid dalam permasalahan khilaf. Beliau adalah Syaikh Said al-Kamali, iaitu ulama dari Maghribi yang pernah saya nukil. Seperti biasa, di Malaysia banyak kawan-kawan salafi berbangga dengan hafazan Syaikh al-Kamali. Di satu sisi, kawan-kawan ASWJ yang tidak tahau pula giat menuduh beliau adalah seorang Wahabi.
Saya dah berkali-kali sebut, bahawa Syaikh Said al-Kamali seorang yang alim, sangat insaf (adil), tidak terlalu ke kiri dan ke kanan. Menekankan pentingnya ilmu alat, dan melarang orang yang bukan ahlinya bergiat dalam hal khilaf. Bahkan beliau berkali-kali mengeluarkan pendapat yang membuat pihak Wahabi berang, kerana berbeda ijtihad dengan ulama-ulama Wahabi. Dahulu beliau tegaskan tentang tidak boleh menuduh bid'ah dalam isu khilaf seperti isbal (panjangkan seluar lebih dari buku lali).
Kali ini beliau menegaskan bahawa solat di kubur itu khilaf, ada yang bolehkannya dan ada yang mengharamkannya. Bahkan jumhur ulama menegaskan ia adalah harus (boleh). Dan menurut beliau, kalau pun ada yang memilih pendapat haram, janganlah sampai menuduh perbuatan tersebut sebagai bid'ah, atau syirik bahkan menyesatkan dan mengkafirkan pelakunya. Inilah contoh ulama yang insaf yang kita perlu tonjolkan. Untuk menyadarkan orang-orang yang ekstrim yang menggunakan isu khilaf untuk membid'ahkan pelakunya.